Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tanah Runtuh Bukit Kukus: Operasi kini tertumpu kepada kawasan mudah lungsur

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong di Pulau Pinang masuk hari kelima dengan operasi pencarian ditumpukan kepada sektor tiga iaitu kawasan penemuan sebuah kontena yang hancur semalam.

Anggaran Waktu Membaca:
Tanah Runtuh Bukit Kukus: Operasi kini tertumpu kepada kawasan mudah lungsur

Operasi mencari dan menyelamat giat dijalankan di lokasi kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 23 Oct 2018 10:55AM Dikemas Kini : 23 Oct 2018 10:58AM

GEORGE TOWN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong di Pulau Pinang masuk hari kelima dengan operasi pencarian ditumpukan kepada sektor tiga, iaitu kawasan penemuan sebuah kontena yang hancur semalam.

Kawasan itu juga merupakan 15 peratus daripada 9290.3 meter persegi yang timbunan tanahnya belum dapat dialihkan.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah, berkata operasi SAR yang disambung semula pada 8.00 pagi ini (23 Okt) selepas ditangguhkan pada pukul 10.00 malam tadi (22 Okt) bermula dengan kerja-kerja mengalihkan timbunan tanah di kawasan 15 peratus itu.

"Operasi semalam (22 Okt) terpaksa ditangguh kerana kami kekurangan sumber pencahayaan di kawasan 15 peratus tanah belum dialihkan itu berikutan lokasinya agak jauh dan curam.

“Ia bukan sahaja bahaya kepada pasukan penyelamat malah jengkaut turut boleh terjatuh ke dalam timbunan tanah itu...," katanya ketika dihubungi agensi berita Bernama.

Pada Jumaat lalu (19 Okt), tanah runtuh dilaporkan pada pukul 1.56 tengah hari di kawasan tapak pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus itu menimbus 13 kontena dan rumah kongsi yang menempatkan pekerja asing projek itu.

Sehingga Isnin (22 Okt), sembilan mayat sudahpun ditemui. Mereka adalah tiga lelaki warga Indonesia, lima lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Myanmar.

Empat yang lain iaitu seorang lelaki warga Bangladesh, dua wanita warga Indonesia dan seorang wanita warga Kemboja cedera, manakala seorang lagi lelaki Bangladesh yang dikenali sebagai Md Rahaz dilaporkan masih hilang, dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan tanah itu.

Lelaki warga Bangladesh yang cedera dikenali sebagai Shamim masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Pulau Pinang.

Encik Mohamad Shoki berkata pihaknya berharap kerja-kerja pengalihan timbunan tanah runtuh di kawasan 15 peratus yang berada di sektor ketiga itu dapat diselesaikan hari ini (23 Okt) supaya memudahkan pasukan penyelamat mencari mangsa terakhir yang dikhuatiri tertimbus itu.

"Namun kerja pengalihan tanah itu bergantung kepada keadaan cuaca di lokasi kerana jika hujan operasi SAR perlu dihentikan serta-merta kerana bimbang pergerakan tanah berlaku dan ia boleh menyebabkan kejadian tanah runtuh berulang," katanya.

Beliau berkata seramai 100 pegawai dan anggota pasukan penyelamat dari pelbagai agensi seperti bomba, polis, pasukan Smart, Agensi Bencana Alam Negara (Nadma), Jabatan Mineral Dan Geosains, pasukan perubatan Kementerian Kesihatan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat itu. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan