Images
  • afghanistan security forces
    Anggota keselamatan Afghanistan dalam keadaan berjaga-jaga di Herat semasa solat Aidiladha pada 20 Jul 2021. (Gambar: AFP/Hoshang Hashimi)

Taliban seakan punyai 'momentum strategik' di Afghanistan, kata jeneral kanan AS

WASHINGTON: Taliban kelihatan seolah-olah mempunyai "momentum strategik" dalam ofensif mereka di seluruh Afghanistan, namun kemenangan mereka belum lagi terjamin, menurut pengerusi ketua turus bersama Amerika Syarikat Jeneral Mark Milley pada Rabu (21 Jul).

Hampir 20 tahun setelah Amerika Syarikat menggulingkan rejim Taliban menyusuli serangan 9/11 dan dengan pengunduran tentera asing yang dipimpin Amerika Syarikat hampir selesai, kumpulan militan itu kini menguasai hampir separuh daripada sekitar 400 daerah di Afghanistan.


Namun kumpulan itu belum lagi berhasil menguasai bandar-bandar utama yang padat dengan penduduk, kata Jeneral Milley semasa satu sidang media.

Taliban sedang bergerak pantas di Afghanistan, merampas wilayah, rentasan sempadan dan mengepung sebilangan bandar.

Kejayaan mereka menguji tekad tentera Afghanistan, yang sebelum ini menyaksikan angka korban yang sangat tinggi dan kini terpaksa berdepan dengan keputusan pasukan tentera antarabangsa mengundurkan diri daripada negara tersebut.

Meskipun tentera Afghanistan terlatih dan disokong oleh pasukan-pasukan tentera antarabangsa dan anggaran turut menunjukkan bahawa jumlah askar jauh lebih tinggi berbanding militan Taliban, Jen Milley berpendapat jumlah askar semata-mata belum cukup untuk memenangi peperangan.

Presiden Amerika Syarikat Joe Biden berkata bahawa rampasan kuasa Taliban adalah "bukan sesuatu yang tidak dapat dielakkan".

Awal bulan ini beliau turut memberi amaran bahawa rakyat Afghanistan mesti bersatu menentang kumpulan pemberontak dan mengakui "sangat tidak mustahil" sebuah pemerintah yang bersatu boleh menguasai seluruh negara.

- AFP/TQ/tq

Top