Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Taliban mungkir janji termasuk tentang hak wanita, tegas PBB

Pesuruhjaya Tinggi bagi Hak-Hak Kemanusiaan, Michelle Bachelet berkata, Afghanistan sedang berada dalam "fasa baru dan sangat berbahaya".

Anggaran Waktu Membaca:
Taliban mungkir janji termasuk tentang hak wanita, tegas PBB

Pesuruhjaya PBB bagi Hak-Hak Kemanusiaan Michelle Bachelet. (Ga,mbar: REUTERS/Denis Balibouse)

Diterbitkan : 13 Sep 2021 09:29PM Dikemas Kini : 13 Sep 2021 09:31PM

GENEVA: Pemimpin Taliban sudah mula mungkir janji berhubung hak-hak asasi, termasuk dengan memerintah kaum wanita supaya duduk di rumah, menghalang remaja perempuan daripada ke sekolah dan melakukan pemeriksaan rumah ke rumah untuk memburu musuh mereka.

Demikian menurut seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini (13 Sep).

Pesuruhjaya Tinggi bagi Hak-Hak Kemanusiaan, Michelle Bachelet berkata, Afghanistan sedang berada dalam "fasa baru dan sangat berbahaya" sejak kumpulan Taliban merampas kuasa pada bulan lalu, dengan ramai wanita dan anggota masyarakat etnik serta agama berasa amat bimbang.

"Bercanggah dengan jaminan-jaminan yang diberikan bahawa Taliban akan mendukung hak untuk kaum wanita, golongan itu sebaliknya secara bertahap-tahap dikecualikan daripada ruang awam," kata Cik Bachelet kepada Majlis Hak-Hak Kemanusiaan di Geneva.

Beliau meluahkan rasa kecewa terhadap pemerintah Taliban, yang jelas tidak memberikan ruang kepada wakil daripada kaum wanita dan ia juga dikuasai kaum etnik Pashtun.

PEMBUNUHAN DILAPORKAN

Di beberapa tempat, budak-budak perempuan berusia lebih 12 tahun dilarang ke sekolah manakala wanita disuruh duduk di rumah, tambah beliau, sambil merujuk kepada zaman pemerintahan Taliban yang bersifat menindas antara tahun 1996 dengan 2001 sebelum Amerika Syarikat menggulingkan kumpulan itu.

Cik Bachelet juga memetik beberapa janji yang dimungkiri termasuk memberikan pengampunan kepada bekas pegawai awam dan pegawai keselamatan yang ada kaitan dengan pemerintah sebelum ini serta melarang dilakukan pencarian dari rumah ke rumah.

PBB menerima beberapa dakwaan tentang tindakan sedemikian dilakukan bagi memburu mereka yang bekerja dengan syarikat-syarikat Amerika Syarikat serta pasukan-pasukan keselamatan sementara sebahagian kakitangan PBB melaporkan serangan dan ancaman kian meningkat, tambah beliau.

Tambah beliau, pihaknya juga menerima dakwaan yang boleh dipercayai tentang beberapa bekas anggota tentera Afghanistan yang dibunuh.

Cik Bachelet menggesa supaya satu mekanisme diadakan untuk memantau hak-hak kemanusiaan di Afghanistan. "Saya mengulangi rayuan kepada Majlis ini supaya mengambil tindakan berani dan tegas, setara dengan betapa serius krisis ini," tegas beliau.

Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan