Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Taliban minta berucap di Perhimpunan Agung PBB, namakan utusan baru

Menteri Ehwal Luar baru Taliban meminta untuk berucap kepada para pemimpin dunia di mesyuarat Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu ini di New York, kata seorang jurucakap PBB pada Selasa (21 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Taliban minta berucap di Perhimpunan Agung PBB, namakan utusan baru

Menteri Ehwal Luar Afghanistan Amir khan Muttaqi berucap di sidang media di Kementerian Ehwal Luar Afghanistan di Kabul pada 14 Sep 2021. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 22 Sep 2021 08:55AM Dikemas Kini : 22 Sep 2021 08:57AM

PBB: Menteri Ehwal Luar baru Taliban meminta untuk berucap kepada para pemimpin dunia di mesyuarat Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu ini di New York, kata seorang jurucakap PBB pada Selasa (21 Sep).

Duta pemerintah Afghan itu, yang digulingkan oleh Taliban bulan lalu, juga meminta untuk berbicara namun PBB belum memutuskan siapa yang akan mewakili negara itu di pertubuhan dunia tersebut.

Sebuah jawatankuasa kelayakan sembilan anggota kini akan memutuskan permintaan tersebut, jurucakap PBB Stephane Dujarric memberitahu AFP, tetapi tidak jelas sama ada jawatankuasa itu akan mengadakan pertemuan sebelum berakhirnya konvokesyen pada Isnin.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menerima surat daripada pemimpin dilantik Taliban, Amir Khan Muttaqi, yang "meminta untuk menyertai" perbahasan peringkat tinggi itu, kata Encik Dujarric.

Surat itu bertarikh Isnin, 20 September - sehari sebelum sesi itu dimulakan - dan menyenaraikan Amir Khan sebagai "Menteri Ehwal Luar", tambah beliau.

Surat itu tidak menyatakan jika Encik Amir Khan mahu melakukan perjalanan ke New York untuk berucap atau sama ada Taliban akan mengirimkan satu video yang dirakamkan kerana ramai pemimpin berbuat demikian tahun ini dek COVID-19.

Surat itu juga menyatakan Ghulam Isaczai tidak akan lagi mewakili Afghanistan di PBB.

Beliau adalah duta pemerintah Afghanistan ke PBB, yang digulingkan pada Ogos ketika kumpulan tentera Amerika Syarikat mengundurkan diri daripada negara itu sekali gus mengakhiri peperangan dua dekad.

Surat itu menyatakan Taliban melantik jurucakapnya yang berpangkalan di Doha, Suhail Shaheen, sebagai wakil tetap Afghanistan ke PBB.

Nota itu, yang mempunyai kepala surat bertulis "Amiriah Islam Afghanistan, Kementerian Ehwal Luar", menyatakan bekas presiden Ashraf Ghani "digulingkan" pada 15 Ogos, hari beliau meninggalkan negara.

"Negara-negara di seluruh dunia tidak lagi mengiktirafnya sebagai presiden," nyata surat itu, menurut PBB.

Jurucakap PBB itu juga berkata Setiausaha Agung Guterres sudahpun menerima surat berasingan daripada Isaczai, bertarikh 15 September, yang mengandungi senarai delegasi Afghanistan bagi sesi tersebut.

Surat tersebut menyenaraikan Isaczai sebagai wakil tetap Afghanistan, kata Encik Dujarric. 

Sumber : AFP/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan