Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Taliban larang penduduk Afghanistan cukur janggut

Taliban mengharamkan tukang gunting rambut di wilayah Helmand, Afghanistan daripada mencukur atau memotong janggut pelanggan.

Anggaran Waktu Membaca:
Taliban larang penduduk Afghanistan cukur janggut

Gambar: Getty Images

Diterbitkan : 27 Sep 2021 11:43AM Dikemas Kini : 27 Sep 2021 11:45AM

KABUL: Taliban mengharamkan tukang gunting rambut di wilayah Helmand, Afghanistan daripada mencukur atau memotong janggut pelanggan.

Menurut tafsiran Taliban, ia melanggar undang-undang Islam.

Tambah kumpulan itu, sesiapa yang menyalahi undang-undang tersebut akan dihukum.

Sebilangan tukang gunting di ibu kota Kabul berkata bahawa mereka juga menerima arahan yang sama.

Arahan itu menunjukkan negara tersebut kembali kepada undang-undang ketat yang dikuatkuasakan oleh kumpulan tersebut sewaktu berkuasa sebelum ini, meskipun ia menjanjikan jenis pemerintahan yang lebih bertolak ansur, lapor BBC.

Sejak merampas kuasa bulan lalu, Taliban menguatkuasakan hukuman-hukuman tegas ke atas para pembantah pemerintahannya.

Pada Sabtu, para anggotanya menembak mati empat individu yang dipercayai adalah penculik dan mayat mereka digantung di tepi jalan wilayah Herat.

Dalam satu notis yang ditampal di wilayah bahagian selatan Afghanistan, Helmand, para pegawai Taliban memberi amaran bahawa tukang gunting rambut mesti mematuhi hukum syariah berhubung potongan rambut dan janggut.

"Tiada seorang pun yang berhak untuk membuat aduan," menurut notis itu, lapor BBC.

Para pegawai kerap datang dan mengarahkan kami supaya berhenti mencukur janggut," kongsi seorang tukang gunting di Kabul. "Salah seorang daripada mereka memberitahu kami bahawa mereka boleh menghantar pemeriksa yang menyamar sebagai pelanggan untuk menangkap kami."

Seorang lagi tukang gunting yang mengendalikan salah satu salun terbesar di bandar itu berkata bahawa beliau menerima panggilan daripada seorang individu yang mendakwa beliau adalah pegawai pemerintah.

Mereka mengarahkannya supaya "berhenti mengikut cara Amerika" dan jangan mencukur atau memotong janggut sesiapa pun.

Tukang gunting lain yang tidak didedahkan nama mereka oleh BBC demi menjaga keselamatan mereka berkata bahawa undang-undang baru itu merumitkan mata pencarian mereka.

"Salun fesyen dan tukang gunting semakin menjadi perniagaan terlarang," kata seorang tukang gunting. "Ini kerja saya sepanjang 15 tahun yang lalu dan saya tidak rasa saya boleh meneruskanya." 

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan