Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Taliban culik 43 penduduk termasuk pekerja binaan

Kumpulan Taliban menculik 43 orang dari sebuah kem pekerja binaan dalam satu serbuan di selatan Afghanistan. Empat pegawai keselamatan terbunuh dalam kejadian terbaru itu sejak tamatnya gencatan senjata kumpulan tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Taliban culik 43 penduduk termasuk pekerja binaan

Serbuan terkini kumpulan Taliban sejak sambutan Aidilfitri. (Gambar: Noorullah Shirzada/ AFP)

Diterbitkan : 23 Jun 2018 09:25AM Dikemas Kini : 23 Jun 2018 09:28AM

KANDAHAR: Kumpulan Taliban menculik 43 orang dari sebuah kem pekerja binaan dalam satu serbuan di selatan Afghanistan. Empat pegawai keselamatan terbunuh dalam kejadian terbaru itu sejak tamatnya gencatan senjata kumpulan tersebut.

Para militan menyerang kem yang terletak di daerah Spin Boladak di wilayah Kandahar pada sebelah malam (waktu tempatan), kata jurucakap gabenor wilayah Dawood Ahmadi kepada AFP hari ini (23 Jun).

Dalam kalangan 43 mangsa yang diculik adalah pekerja teknikal, tukang masak dan pemandu. Empat polis terbunuh dan seorang lagi cedera selepas pasukan keselamatan yang dikerahkan berbalas tembakan dengan kumpulan Taliban, tambah Encik Ahmadi.

Seorang pekerja syarikat binaan tempatan turut mengesahkan bahawa 43 orang diculik.

Kumpulan Taliban mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu, namun ia menyatakan bahawa sasaran awalnya adalah pos pemeriksaan polis.

Para pegawai lari meninggalkan pusat pemeriksaan itu dan memasuki kem di mana para pekerja binaan sedang tidur. Kumpulan Taliban terus mengejar mereka, namun setelah gagal mengenal pasti sasarannya, ia memutuskan untuk menculik "ramai" orang, menurut kumpulan itu.

Dalam satu insiden berasingan di wilayah Badghis, sekurang-kurangnya lapan anggota militan yang menyokong pemerintah terbunuh dan enam lagi cedera dalam pertempuran dengan Taliban.

Jurucakap gabenor wilayah Naqibullah Amini berkata bahawa pertempuran di daerah Aab Kamari itu berlarutan selama dua jam dan berjaya ditumpaskan pasukan keselamatan.

Ketua Majlis Wilayah Badghis Abdul Aziz Beg menganggarkan 16 anggota militan mati dalam kejadian tersebut.

Kumpulan Taliban kembali ke medan pertempuran pada Isnin (18 Jun) selepas menolak permintaan pemerintah untuk melanjutkan gencatan senjata tiga hari mereka sempena sambutan Aidilfitri.

Presiden Ashraf Ghani mengumumkan pada hujung minggu lalu bahawa gencatan senjata selama lapan hari, yang dijadual tamat pada Selasa (26 Jun), akan dilanjutkan selama 10 hari lagi. 

Sumber : AFP/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan