Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tak sanggup lihat telekung kotor dan berbau, ibu dan anak anjur Projek Telekung

Bagi golongan wanita Islam, menyinggahi surau sesuatu yang lazim dilakukan, terutama sekali jika beliau sehari suntuk meluangkan masa di luar.

Anggaran Waktu Membaca:
Tak sanggup lihat telekung kotor dan berbau, ibu dan anak anjur Projek Telekung

(Gambar: Telekung Project/ Facebook)

Diterbitkan : 20 Jun 2018 07:28PM Dikemas Kini : 20 Jun 2018 08:37PM

PUCHONG: Bagi golongan wanita Islam, menyinggahi surau sesuatu yang lazim dilakukan, terutama sekali jika beliau sehari suntuk meluangkan masa di luar.

Namun, umpama sudah menjadi perkara biasa, apabila telekung wakaf yang disediakan di luar terlihat kotor dan berbau, dek sentiasa digunakan orang ramai.

Dari masa ke semasa dalam keadaan itu, ia tetap dipakai kerana merasakan 'ada orang akan cuci'.

Namun perkara itu sama sekali tidak dalam fikiran seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun ketika itu. Sofea Najihah Zulhelmy sebaliknya meminta ibunya mencucinya hingga bersih telekung busuk yang beliau temui di sebuah surau.

Siapa sangka daripada desakan anaknya itu, Cik Norazila Abdul Aziz kini menjadi pengasas kepada NGO yang kian dikenali ramai, Pertubuhan Kebajikan Telekung Project (The Telekung Project - TP) yang kini mempunyai hampir 500,000 pengikut di laman Facebook.

ANAK ENGGAN SOLAT KERANA TELEKUNG WAKAF KOTOR

"Anak sulung saya, dorongan utama saya memulakan Projek Telekung ini," ceritanya kepada Astro Awani.

Mengimbau kisah tujuh tahun lalu, Cik Norazila ketika itu menetap di Puchong dan bertugas sebagai seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Manjalara, Kepong, Kuala Lumpur.

Dengan trafik sesak yang perlu beliau hadapi setiap hari dari rumah ke tempat kerja, bekas guru kaunselor sekolah itu mendidik anaknya yang juga bersekolah di Kepong ketika itu untuk menunaikan solat di luar.

Setiap hari, keluarga itu keluar dari rumah seawal jam 5.30 pagi dan pulang pada sekitar 8.30 malam.

(Gambar: Telekung Project/ Facebook)

"Biasanya kita bawa telekung, ramai tidak sanggup pakai telekung yang diwakafkan. Tetapi, satu hari Sofea tertinggal telekungnya. Dia tak ingin solat.

"Saya tanya kenapa, katanya sebab telekung tu busuk. Bila paksa, dia jadi 'solat dinosaur'. Dia tanya kenapa ‘orang tua tak cuci telekung?'. Soalan keduanya, 'Mama.. mama tak nak tolong cuci ke..? Mama kan kaunselor. Kena baik.' Masa tu saya rasa budak usia 7 tahun biasa akan tanya apa saja. Tak fikir apa, saya cuma fikir logik saja," katanya.

INGIN TUNJUK TELADAN

Sebagai ibu kepada dua anak kecil, Cik Norazila mengakui berasa sangat rimas dengan anaknya, Sofea, yang tidak putus-putus bertanya tentang telekung kotor yang diwakafkan itu.

Atas sebab ingin menunjukkan teladan baik, beliau bersetuju untuk menurutinya.

"Saya tanya Sofea sama ada nak cuci, dan dia bagi tahu 'nak'. Masa tu saya cuma kata 'OK', sekadar berharap dia berhenti di situ. Pada awalnya ‘saya menipu’. Saya tak kata saya baik.

"Masa tu bukan nak cuci kerana lillahi taala, hanya kerana anak," katanya.

Malah, Cik Norazila pernah cuba mengelak dari memandu di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) untuk mengambil telekung berkenaan kerana merasakan tanggungjawabnya di sekolah saja sudah banyak untuk diselesaikan.

Namun tidak dapat lari dari desakan si anak, beliau 'redha' kerana dalam hatinya sudah berniat telekung itu tidak akan dicuci, cukup sekadar menggantikannya dengan yang baru.

"Terlalu kotor nak dibasuh, jadi ia hanya ditinggalkan di rumah beberapa hari. Sofea pun asyik tanya, bila nak cuci. Sampai saya cakap kalau nak cuci, cuci dengan baju sekolah dia biasa rendam untuk basuh. Ingatkan dia serik.. tetap dia bersemangat pula," tambah Cik Norazila kepada Astro Awani.

AWALNYA MERUNGUT CUCI TELEKUNG UNTUK ORANG LAIN

"Projek Telekung ini dijalankan kerana Sofea Najihah. Meskipun saya seorang kaunselor, saya baru sedar, selama ini kita ada ilmu, tetapi kita tidak mengamalkannya," katanya.

(Gambar: Telekung Project/ Facebook)

"Kenapalah aku buat kerja ni? Rasa rugi berhabis sabun mahal untuk cuci telekung 'orang', namun disebabkan mahu 'berlakon' di depan anak bagi menyokong usahanya." Itulah rungutan Cik Norazila semasa baru-baru mencuci telekung-telekung yang 'diambil' dari surau.

"Masa tu mula dengan lima pasang telekung untuk dibasuh. Bila dah basuh, tentulah berkedut, nak 'iron' baju sendiri pun 'bercinta'. Sofea pun asyik tanya kenapa tidak pulangkan balik. Telekung saya ganti sebelum ini pun dah jadi macam belacan.

"Masa letak telekung asal, saya dah rasa tak mahu buat sebab rasa tidak ada masa. Tetapi Sofea tanya, tak mahu buat lagi ke? Dia cadang ambil dan tukar balik. Masa itulah saya terfikir, Sofea sebenarnya suka tolong orang," katanya.

Beberapa bulan projek 'rahsia' mereka berdua itu dijalankan. Sejak itulah, Cik Norazila merasakan satu perubahan.

Jika dahulu setiap kali pulang dari sekolah terpaksa mengharungi jalan sesak, namun disebabkan projek itu, beliau dan anaknya sering singgah di R&R atau pusat beli-belah untuk menjalankan 'misi'.

Cik Norazila juga mengakui projek itu membolehkan mereka meluangkan lebih banyak masa bersama.

KESAN MEDIA SOSIAL

Cik Norazila menubuhkan satu akaun Facebook bagi projeknya itu pada 14 Oktober 2011. Pada awalnya, beliau hanya meminta derma lima pasang telekung untuk dibuat ganti. Namun, dalam tempoh lebih seminggu, beliau berjaya mendapatkan lebih 1,000 pasang telekung.

Beliau kemudian memberi telekung-telekung yang terkumpul itu kepada rumah anak yatim, orang susah dan surau.

"Ramai berminat dengan Projek Telekung. Yang tidak boleh bagi telekung, nak bagi duit. Tetapi kita tidak boleh terima duit macam tu saja. Jadi, saya mula daftarkan TP. Sebagai guru kaunseling saya tahu tentang masalah masyarakat. Jadi ada niat nak kongsi ilmu," katanya.

Disebabkan kesibukan menerajui projek itu, Cik Norazila juga memilih untuk berhenti kerja.

Enam bulan gaji terakhir tidak berusik semuanya dilaburkan untuk Projek Telekung.

Buat masa ini, Projek Telekung tidak hanya menjalankan misi mencuci telekung. Ia kini berkembang dengan pelbagai projek amal bagi membantu golongan yang memerlukan seperti orang susah dan anak yatim hingga ke luar negara. 

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan