Images
  • deadly selfie 1
    Hampir 260 orang di seluruh dunia maut antara Oktober 2011 hingga November 2017 semasa berswafoto. (Gambar: Manan Vatsyayana/AFP)

Tahukah anda berswafoto 4 kali ganda lebih berbahaya berbanding serangan jerung?

RIO DE JANEIRO: Adakah anda gemar berswafoto? Ia semakin popular sejak sedekad lalu.

Bagaimanapun, anda mungkin perlu lebih berhati-hati memandangkan jumlah korban jiwa akibat berswafoto yang dicatatkan adalah empat kali ganda lebih tinggi berbanding serangan jerung.

Malah, angka korban akibat berswafoto kini meningkat setiap tahun, sedang telefon bijak yang dihasilkan menjadi lebih canggih dan 'selfie stick' juga membolehkan si pengguna memetik gambar daripada jarak lebih jauh, menjadikan mereka lebih berisiko semasa cuba memetik gambar yang dianggap istimewa.


(Gambar: Carl de Souza/AFP)

Hampir 260 orang dari merata dunia terkorban ketika berswafoto antara Oktober 2011 hingga November 2017, menurut Jurnal Perubatan Keluarga dan Jagaan Asas India.

Ini, menurutnya, jauh lebih rendah berbanding 50 orang yang terbunuh akibat serangan jerung sepanjang tempoh yang sama.

Wanita-wanita lebih gemar berswafoto, namun lelaki muda turut berisiko, dengan golongan itu membentuk tiga suku daripada keseluruhan kematian akibat berswafoto - sama ada disebabkan oleh mati lemas, dilanggar, terjatuh ataupun ditembak.


(Gambar: Orlando Sierra/AFP)

India, sebuah negara dengan lebih 1.3 bilion penduduk dengan 800 juta orang yang memiliki telefon bimbit, memegang rekod bagi jumlah tertinggi orang yang maut ketika berswafoto. Sejauh ini, seramai 159 penduduk dilaporkan meninggal dunia akibat perbuatan tersebut.

Mangsa termasuk para belia yang maut akibat dilanggar oleh sebuah kereta api ataupun mereka yang mati lemas apabila bot yang dinaiki karam pada saat-saat mereka memetik gambar.

Keadaan di India semakin memburuk sehingga menyebabkan negara itu terpaksa menubuhkan zon-zon yang mengharamkan berswafoto, dengan 16 zon sedemikian diperuntukkan di Mumbai sahaja.

India mendahului negara-negara lain seperti Rusia (16 kematian), Amerika Syarikat (14 kematian) dan Pakistan.


(Gambar: Reuters)

Di Rusia, sebilangan orang dilaporkan terjatuh daripada jambatan dan bangunan tinggi. Ada pula yang maut akibat menembak diri sendiri ataupun terkorban ketika menangani periuk api.

Pada 2015, polis mengeluarkan garis panduan untuk "berswafoto tanpa membahayakan diri".


(Gambar: Thomas Coex/AFP)

Di Amerika Syarikat pula, sebahagian besar mangsa dilaporkan tertembak diri mereka ketika memetik gambar yang diidam-idamkan itu. Sebilangan mangsa pula maut akibat terjatuh di Grand Canyon.

- AFP/AI/ai

Top