Images
  • pusat tahfiz
    (Gambar fail: BERNAMA)

Tahfiz bukan pusat pemulihan akhlak, tegas Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia

MELAKA: Ibu bapa perlu melihat dan menghormati institusi tahfiz sebagai pusat pembelajaran Al-Quran dan ilmu agama, bukannya sebagai pusat pemulihan akhlak bagi remaja bermasalah atau gagal dikawal.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Nadzim Johan berkata ibu bapa tidak sepatutnya melepaskan tanggungjawab menjaga anak yang bermasalah kepada pihak lain dengan menghantar mereka yang sukar dibentuk itu ke sekolah tahfiz bagi memperbetulkan akhlak mereka.

"Institusi tahfiz adalah institusi pembelajaran ilmu Al-Quran, justeru ibu bapa sepatutnya menghantar anak-anak mereka bagi tujuan mendalami ilmu tersebut dan bukan untuk menyelesaikan masalah anak yang tidak dapat dikawal.

“Apabila hantar anak ke institusi tahfiz atau sekolah berasrama penuh, ibu bapa sebagai orang yang paling dekat dengan anak-anak, buatlah pemantauan dan jangan serah tanggungjawab bulat-bulat kepada ustaz atau guru,” kata Encik Nadzim ketika dihubungi Bernama pada Sabtu (16 Nov).

Turut berkongsi pendapat, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kamal Affandi Hashim berkata ibu bapa perlu membetulkan niat dan tujuan -kenapa mereka menghantar anak ke institusi tahfiz.
“Kalau niatnya untuk melepaskan tanggungjawab setelah gagal membentuk anak atau untuk tujuan bermegah-megah 'anak saya masuk tahfiz'…saya nasihatkan agar ibu bapa yang berfikiran demikian membatalkan sahaja hajat mereka itu.

“Ini kerana institusi tahfiz adalah pusat ilmu bagi melahirkan insan yang cemerlang dalam ilmu dunia dan akhirat,” terangnya.

Beliau menambah ibu bapa yang mengambil jalan mudah melepaskan tanggungjawab mendidik anak kepada orang lain, dengan menghantar anak mereka ke institusi tahfiz, boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana mengabaikan anak-anak.

Encik Kamal Affandi menasihati ibu bapa agar memilih institusi tahfiz yang berdaftar dengan pihak berkuasa dengan membuat semakan terlebih dahulu terhadap taraf sekolah terlibat.

“Jangan hanya dengar cakap-cakap orang bahawa sekolah itu bagus, sekolah ini kurang bagus. Sebaliknya, saya nasihatkan ibu bapa menilai sekolah tersebut terlebih dahulu sebelum membuat keputusan,” ujarnya.

Selain itu, Encik Kamal Afandi berkata pihak pengurusan sekolah tahfiz juga perlu mengambil tindakan proaktif termasuk membuat saringan polis sebelum mengambil tenaga pengajar supaya tidak terambil mereka yang bermasalah ataupun mempunyai rekod jenayah lampau.

Di samping mengadakan saringan, beliau berkata pihak pengurusan sekolah tahfiz juga perlu melakukan pemeriksaan berkala atau pemeriksaaan mengejut kepada tenaga pengajar. Ini selain mengadakan perbualan dengan pelajar bagi mengesan sebarang masalah. 

- BERNAMA/FZ/fz

Top