Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tabung Harapan kutip RM35.3 juta

Tabung Harapan Malaysia, yang dilancarkan pada 30 Mei, mengutip sebanyak RM35.3 juta (S$11.8 juta) sehingga 1.00 petang, hari ini (5 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Tabung Harapan kutip RM35.3 juta

Gambar Masjid Negara Kuala Lumpur. (Gambar: Facebook)

Diterbitkan : 05 Jun 2018 09:12PM Dikemas Kini : 05 Jun 2018 09:17PM

PUTRAJAYA: Tabung Harapan Malaysia, yang dilancarkan pada 30 Mei, mengutip sebanyak RM35.3 juta (S$11.8 juta) sehingga 1.00 petang, hari ini (5 Jun).

Menteri Kewangan Lim Guan Eng, berkata maklum balas yang sangat mengalakkan dan sokongan berterusan rakyat Malaysia yang menderma bagi membantu mengurangkan hutang negara sebanyak RM1 trilion (S$340 bilion), mencerminkan rasa cinta terhadap negara dan sikap patriotisme negara.

Beliau memberi jaminan bahawa wang yang dikutip itu akan digunakan hanya untuk mengurangkan hutang kerajaan dan bukan untuk tujuan lain.

“Rakyat memberikan kepercayaan kepada kita dan menderma untuk mengurangkan hutang. Justeru jika kita melabur (untuk tujuan lain) kita akan memecahkan kepercayaan mereka. Kita akan patuh dan memenuhi tujuan asal dana berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menerima cek sebanyak RM3 juta (S$1 juta) daripada Matrix Concepts Holdings Bhd sebagai sumbangan untuk dana berkenaan di kementeriannya hari ini (5 Jun).

RM3 juta (S$1 juta) itu adalah sebahagian daripada RM5 juta (S$1.68 juta) yang diikrar pemaju hartanah berpangkalan di Seremban itu untuk Tabung Harapan.

Dana berkenaan disasarkan untuk membayar hutang dan liabiliti kerajaan Persekutuan berjumlah sekitar RM1.087 trilion (S$360 bilion) – mewakili 80.3 peratus daripada keluaran dalam negara kasar 2017.

Menurut Encik Lim, kementeriannya akan memastikan juruaudit luar yang akan dilantik untuk Tabung Harapan melaksanakan kerja mereka sepertimana perlu dan telus.

“Proses pelantikan sedang berjalan. Setakat ini tiada sesen pun yang dikeluarkan dari Tabung Harapan. Kami memberi jaminan kepada rakyat bahawa dana berkenaan akan digunakan untuk tujuan yang betul. Kami melaksanakan dengan ketat prosedur operasi standard dalaman kementerian,” katanya.

Ditanya jika juruaduit luar akan melaksanakan tugas audit dengan percuma berdasarkan niat baik, Encik Lim berterima kasih kepada pemberita atas cadangan itu dan berkata akan melihat perkara itu.

“Jika ada syarikat yang ingin bersama kita sebagai niat baik, kita tidak perlu membuka tender kepada mana-mana firma audit untuk ini,” katanya, sambil menambah audit Tabung Harapan adalah satu tugas yang mudah.

Ditanya jika Matrix Concept mempunyai perjanjian dengan kerajaan Persekutuan kerana ia sanggup menderma RM5 juta (S$1.68 juta), Encik Lim berkata, tiada ikatan antara syarikat berkenaan dengan kerajaan Persekutuan dan sumbangan itu diberikan atas niat baik syarikat berkenaan. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan