Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Syiah kekal fahaman menyeleweng, tegas Mufti Pahang

Mufti Pahang Dr Abdul Rahman Osman menegaskan bahawa tiada semakan mahupun peluang seharusnya diberikan terhadap penyebaran ajaran Syiah di Malaysia.

Anggaran Waktu Membaca:
Syiah kekal fahaman menyeleweng, tegas Mufti Pahang

Mufti Pahang Dr Abdul Rahman Osman. (Gambar fail: Bernama)

Diterbitkan : 22 Nov 2018 11:35PM Dikemas Kini : 22 Nov 2018 11:41PM

KUANTAN: Mufti Pahang Dr Abdul Rahman Osman menegaskan bahawa tiada semakan mahupun peluang seharusnya diberikan terhadap penyebaran ajaran Syiah di Malaysia.

Menurut beliau, fahaman kelompok itu jelas bertentangan dengan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), yang menjadi asas masyarakat Islam di negara itu.

"Kita tidak perlu tunduk kepada sebarang desakan seperti menyuruh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan membatalkan fatwa Syiah sebagai menyimpang daripada ajaran Islam.

"Ini adalah penegasan bahawa masyarakat Islam di negara ini kekal berpandukan kepada al-Quran dan as-Sunnah serta mengamalkan Mazhab Syafie tanpa sebarang pertikaian atau penambahan yang mengarut," kata Dr Abdul Rahman ketika ditemui agensi berita Bernama hari ini (22 Nov).

TIADA KUMPULAN SYIAH AKTIF DI PAHANG

Dalam pada itu, Dr Abdul Rahman memaklumkan tiada kumpulan Syiah yang bergerak aktif di negeri Pahang dan laporan yang diterima hanya membabitkan amalan secara persendirian.

"Kita bertindak memberi nasihat agar individu terlibat tidak meneruskannya (ajaran Syiah), selain terus memantau rapi jika ada sebarang penyebaran ajaran itu di negeri ini.

"Mungkin ada yang kata Syiah masih Islam... memang ya, mereka Islam dan kita tidak pernah melabelkan mereka kafir.

"Bagaimanapun, banyak hal dalam amalan agama telah mereka seleweng secara terang-terangan antaranya mereka mengkafirkan sahabat Rasulullah, menjamakkan solat menjadi tiga waktu sehari serta menghalalkan nikah mutaah," katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa penyebaran atau usaha 'menghalalkan' Syiah oleh pihak bertanggungjawab hanya akan memecahbelahkan masyarakat Islam di negara itu, malah menyumbang kepada keadaan huru-hara.

"Saya mahu menasihatkan orang Islam agar tidak sesekali terjebak apatah lagi menyebarkan ajarah Syiah yang telah kita ketahui terpesong dan membawa kepada kerosakan terhadap kesucian Islam," katanya.

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam pada 2 dan 3 Mei 1996 menetapkan umat Islam Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran ASWJ dari segi akidah, syariah dan akhlak. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan