Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Syed Saddiq sifatkan pengalaman di S'pura sebagai sesuatu yang tidak dapat ditimba di tempat lain

Syed Saddiq sifatkan pengalaman di S'pura sebagai sesuatu yang tidak dapat ditimba di tempat lain.

Anggaran Waktu Membaca:
Syed Saddiq sifatkan pengalaman di S'pura sebagai sesuatu yang tidak dapat ditimba di tempat lain

(Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 04 Apr 2021 10:24PM Dikemas Kini : 04 Apr 2021 11:06PM

SINGAPURA: September lalu, Anggota Parlimen termuda Malaysia, Syed Saddiq, mengumumkan beliau akan melanjutkan pengajiannya selepas menerima biasiswa daripada Universiti Nasional Singapura bagi program possiswazah di Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew (LKYSPP).

Kini sudah sebulan beliau berada di Singapura untuk menghadiri kelas bersama para penuntut lain. Sesetengah kelas menurutnya, dikendalikan oleh ahli politik Singapura dan anggota kanan perkhidmatan awam.

"Sejauh ini, ia sangat luar biasa. Kelas yang saya ikuti benar-benar membuka mata kerana ia tidak seperti kuliah biasa (semasa saya masih lagi seorang mahasiswa)," kata Syed Saddiq dalam satu wawancara eksklusif bersama Mediacorp.

"Anda dapat mendengar para menteri dan setiausaha tetap berkongsi tentang pengalaman masing-masing, bagaimana mereka mengharungi onak dan duri dalam politik dan birokrasi," tambah beliau.

"Bagaimana seorang setiausaha tetap, misalnya, mencari jalan keluar apabila seorang menteri tidak bersetuju dengan saranan-saranan yang dikemukakan oleh pihak perkhidmatan awam... kerana pada akhirnya, pelbagai kepentingan harus diselaraskan. Saya mempelajari banyak perkara yang tidak akan dapat saya raih di tempat lain."

Syed Saddiq bersama para siswa NUS di satu sesi dialog. (Gambar: Syed Saddiq/Instagram) 

Syed Saddiq bersama para siswa NUS di satu sesi dialog. (Gambar: Syed Saddiq/Instagram) 

Beliau kemudian menggambarkan betapa "tidak ternilai" pengajaran yang diraih dari rakan-rakan dalam program yang sama - kebanyakannya adalah anggota perkhidmatan awam Singapura. Ada juga beberapa ahli politik dari pelbagai pelusuk dunia, termasuk seorang mantan menteri Costa Rica.

"Kami semua mempunyai kekuatan masing-masing, dan apa yang unik tentang kumpulan ini adalah, kami memanfaatkan kekuatan satu sama lain. Kami semua boleh mempelajari sesuatu dari satu sama lain," kata Syed Saddiq lagi.

MENGAPA NUS?

Pengajiannya di universiti Singapura ini merupakan kali pertama Syed Saddiq belajar di luar negara. Beliau menuntut di Maktab Tentera Diraja sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Syed Saddiq sebelum ini menolak dua tawaran oleh Universiti Oxford, termasuk tawaran bersyarat biasiswa Chevening bagi program sarjana dalam dasar awam. Tawaran itu ditolak kerana beliau tidak mahu ia menggangu kerjanya dalam arena politik.

Ditanya Mediacorp mengapa beliau memilih LKYSPP apabila tawaran itu datang mengetuk pintunya pada 2020, Syed Saddiq berkata satu sebab utama adalah rasa hormatnya terhadap mendiang Lee Kuan Yew.

"Saya rasa anda tidak akan pernah boleh memisahkan Singapura daripada Lee Kuan Yew. Bukan sekarang, dan tidak akan pernah terjadi. Saya ketika itu yakin bahawa saya akan banyak belajar daripada sebuah sekolah di mana nama beliau diabadikan," terang Syed Saddiq.

Satu lagi faktor utama di balik keputusan beliau adalah peluang untuk belajar sambil membina rangkaian dengan para pemimpin Singapura.

"Sekiranya saya ke Oxford, saya tidak akan dapat bertemu dengan para menteri, bekas menteri Singapura, orang-orang dari Temasek Holdings, perkhidmatan awam dan sebagainya. Hubungan yang terjalin di sini akan lama berkekalan. Dan ia sesuatu yang tidak boleh anda dapat di tempat-tempat lain," tambah beliau.

(Gambar: Syed Saddiq/Instagram) 

(Gambar: Syed Saddiq/Instagram) 

Sementara di Singapura, Syed Saddiq sudah mengadakan perbincangan tertutup tidak rasmi dengan Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung, mantan menteri George Yeo, Ketua Pembangkang Pritam Singh serta AP GRC Nee Soon Derrick Goh.

Beliau berkata pertemuan seperti itu tidak ternilai khususnya kerana dirinya bukan lagi seorang menteri yang mewakili kerajaan Malaysia. Jadi beliau dapat berterus-terang.

"Kita tahu bahawa masa depan Singapura dan Malaysia saling terikat antara satu sama lain," ujar Syed Saddiq.

"Dan jika kita berjaya, kita boleh bersama-sama berjaya dan itulah hakikatnya. Kita tidak pernah harus melihat hubungan Malaysia-Singapura ibarat satu pertandingan... (kononnya jika) Singapura menang, Malaysia kalah atau Malaysia menang dan kemudian Singapura kalah - itu semua suatu pembohongan, itu tanggapan salah," luah beliau lagi.

BERKONGSI PENGALAMAN DALAM PENGGUBALAN DASAR

Selain menimba ilmu dalam bilik darjah, Syed Saddiq juga berpeluang untuk berkongsi pengalamannya dalam penggubalan dasar, terutama sekali semasa beliau berkhidmat sebagai seorang menteri.

Syed Saddiq menyebut tentang bagaimana, pada 2019, beliau dapat mengatasi perbezaan pandangan untuk meraih sokongan bagi Undi18 - satu langkah untuk menurunkan umur mengundi rakyat Malaysia dari 21 tahun kepada 18 tahun.

Syed Saddiq bersama mantan Perdana Menteri Malaysia. (Gambar: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman/Facebook) 

Syed Saddiq bersama mantan Perdana Menteri Malaysia. (Gambar: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman/Facebook) 

"Walaupun saya seorang menteri, saya bertemu dengan para AP dari pihak pembangkang, dan saya mendengar buah fikiran mereka. Saya mengadakan banyak sesi bersama mereka. Saya ingin menunjukkan bahawa kita boleh datang dari parti politik berbeza atau mempunyai kepentingan berlainan tetapi masih boleh mempertahankan golongan belia," katanya.

Jarang sekali disaksikan, di dalam dewan yang terdiri daripada pihak-pihak bertentangan, para penggubal dasar sebulat suara bersetuju untuk menurunkan umur mengundi.

Malangnya, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) minggu lalu menyatakan, ia tidak akan menguatkuasakan pindaan membolehkan mereka yang berusia 18 tahun mengundi pada 2021 seperti yang dijadualkan. Ini mungkin akan menjejas 1.2 juta pengundi muda sekiranya pilihan raya diadakan pada lewat tahun ini, seperti yang dijangkakan.

SPR menjelaskan bahawa pelbagai sekatan perjalanan disebabkan COVID-19 menjejas persiapannya untuk melaksanakan peraturan baru, yang seharusnya dikuatkuasakan pada Julai.

Mengulas tentang pengumuman tersebut, AP Muar itu berkata MUDA akan memfailkan kes di mahkamah kerana Undi18 sememangnya sudah diluluskan Dewan Negara dan langkah tidak melaksanakannya akan menjejas "kewibawaan perlembagaan" Malaysia.

TENTANG DIANGGAP TERLALU MUDA DALAM PARLIMEN

Para pencabar Syed Saddiq pada masa lalu sering kali memperlekehkan pengalamannya sebagai seorang ahli politik muda.

Misalnya, dalam perbahasan belanjawan di Parlimen pada tahun lalu, AP UMNO bagi Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman berkata "budak-budak seharusnya duduk diam", apabila Syed Saddiq bercakap tentang isu cukai bagi syarikat pengeluar sarung tangan.

Insiden itu mencetuskan bantahan dari para AP pembangkang, yang meminta Tajuddin menarik balik kata-katanya. Syed Saddiq bagaimanapun tidak ikut serta untuk saling kutuk-mengutuk.

(Gambar: Gaya Chandramohan) 

(Gambar: Gaya Chandramohan) 

"Golongan muda adalah aset besar dan anda tidak pernah harus mengukur nilai seseorang berdasarkan usia mereka. Maka itu apabila AP Pasir Salak mengatakan semua itu kepada saya, saya tidak menjawab dan memanggilnya 'tua'. Sebaliknya, saya ingin fokus pada perkara yang ingin saya kemukakan," kata Syed Saddiq.

"Saya tidak rasa kita perlu bersikap defensif atau berasa seolah-olah kita tidak bagus atau kecil. Kita harus mengubah unsur-unsur negatif itu menjadi positif, menjadi idealisme dan semangat untuk membuktikan keupayaan kita dan membuktikan mereka salah," tambahnya.  

Sumber : CNA/AQ/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan