Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Syarikat pemula Israel lancar kenderaan terbang untuk digunakan 'seperti kereta'

Syarikat pemula Israel, AIR, pada Selasa (19 Okt) melancarkan pesawat elektrik pertamanya yang "mudah dikendalikan", berlepas dan mendarat menegak (eVTOL) dengan tujuan menjualnya langsung kepada pengguna terutamanya di Amerika Syarikat mulai 2024.

Anggaran Waktu Membaca:
Syarikat pemula Israel lancar kenderaan terbang untuk digunakan 'seperti kereta'

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 19 Oct 2021 10:40PM Dikemas Kini : 19 Oct 2021 10:41PM

LONDON: Syarikat pemula Israel, AIR, pada Selasa (19 Okt) melancarkan pesawat elektrik pertamanya yang "mudah dikendalikan", berlepas dan mendarat menegak (eVTOL) dengan tujuan menjualnya langsung kepada pengguna terutamanya di Amerika Syarikat mulai 2024.

AIR telah bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Persekutuan AS (FAA) selama dua tahun dan berharap dapat memperoleh sijil kelulusan menjelang akhir 2023 bagi AIR ONE. Pesawat dengan dua tempat duduk itu seberat 970 kilogram dan mempunyai jangkauan penerbangan sejauh 177 kilometer, kata Ketua Eksekutif Rani Plaut kepada Reuters.

AIR berjaya mengumpulkan modal AS$10 juta pada tahun lalu dan telah menjalankan ujian kenderaan tanpa pemandu. Ia sedang membangunkan model prototaip dan berharap dapat menjual eVTOLnya dengan harga yang hampir sama sebuah kereta yang mahal, kata Plaut, tanpa memberikan perincian lanjut.

Semakin banyak pelabur dan syarikat penerbangan telah memasuki ruang mobiliti udara meskipun belum menerima kelulusan. Bilangan syarikat pemula eVTOL juga semakin bertambah.

Syarikat teksi udara Joby Aviation disenaraikan di bursa saham melalui penggabungan dengan sebuah syarikat pemaju dan Vertical Aerospace - yang sudah menerima pesanan awal hingga 1,000 pesawat eVTOL. Pelanggan utamanya untuk melancarkan kenderaan itu Avolon dan American Airlines - akan juga disenaraikan di bursa saham melalui penggabungan dengan Broadstone Acquisition Corp.

Menurut Plaut, apa yang berbeza tentang AIR adalah ia akan dijual kepada pengguna yang dapat menggunakan perisian "terbang dengan niat" untuk terbang tanpa perlu menjadi juruterbang terlatih sepenuhnya.

"Tumpuan kami adalah penggunaan peribadi sepenuhnya," kata beliau. "Kami tidak membuatnya bagi tujuan penerbangan komersil, maksud kami ialah bagi pelanggan menggunakannya seperti mana mereka menggunakan kereta."

Amerika Syarikat mempunyai banyak ruang udara terbuka yang menjadikannya pasar pertama yang sesuai untuk AIR ONE. Plaut berkata, AIR menjangkakan permintaan dapat mencapai 15,000 kenderaan setahun.

AIR kini sedang berusaha untuk mengumpul dana tambahan bagi proses pensijilan FAA, tetapi tidak mendedahkan jumlahnya.

Sumber : Reuters/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan