Images
  • vaksin
    Gambar hiasan.

Syarikat China CanSino uji vaksin COVID-19 di Argentina, Chile

BEIJING: CanSino Biologics akan mula menguji vaksin COVID-19 dalam percubaan manusia peringkat lanjutan di Argentina dan Chile, umum pengasas bersama syarikat farmaseutikal China itu pada Sabtu (21 Nov).

Calon Ad5-nCoV, yang juga dikenali sebagai Convidecia, menggunakan virus selesema yang tidak berbahaya untuk membawa maklumat genetik protein virus korona untuk mencetuskan tindak balas imun, sudah memulakan percubaan Fasa 3 di Pakistan, Rusia dan Mexico.

CanSino akan memulakan analisis awal hasil percubaan peringkat akhir apabila 50 kes jangkitan dijumpai, kata Zhu Tao, yang juga ketua pegawai saintifik syarikat itu.

Penanda aras 50 kes mungkin dapat dicapai lebih awal daripada yang dijangkakan sebelumnya berdasarkan penularan virus itu, Encik Zhu memberitahu demikian semasa satu acara perdagangan tanpa memberitahu secara khusus bila analisis akan dimulakan.

Jangkaan itu dibuat selepas pengumuman oleh Pfizer dan BioNTech dan Moderna, serta dari Rusia baru-baru ini bahawa vaksin ujian mereka mencatat keberkesanan lebih 90 peratus, menurut data awal dari percubaan berskala besar.

China mempunyai lima calon vaksin yang kini menjalani ujian Fasa 3. Sejauh ini belum ada yang menghasilkan keputusan awal.

CanSino menyatakan pada Jun bahawa Convidecia, yang sedang dikembangkan bersama dengan sebuah institusi penyelidikan yang berkaitan dengan tentera China, sudah diluluskan untuk digunakan oleh para anggota tentera.

Ramai anggota tentera, termasuk pasukan penjaga keamanan di tempat-tempat di mana COVID-19 masih ada, sudah mengambil vaksin dan tiada yang dijangkiti, kata ketua eksekutif CanSino Yu Xuefeng kepada sebuah forum kesihatan pada Jumaat.

Encik Yu berkata beliau "sangat yakin" terhadap produk tersebut, tetapi mengingatkan bahawa kesimpulan muktamad memerlukan data saintifik.

CanSino bersetuju pada Oktober untuk membekalkan 35 juta dos vaksin itu kepada Mexico.

- Reuters/TQ/tq

Top