Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Susu tepung tiruan: Ibu terduduk lihat najis anak berdarah dan berlendir

Tiada ibu bapa yang sanggup melihat anak menderita sakit hingga meragut separuh nyawa.

Anggaran Waktu Membaca:
Susu tepung tiruan: Ibu terduduk lihat najis anak berdarah dan berlendir

(Gambar: Norseila Nawi).

Diterbitkan : 14 Dec 2017 09:14AM Dikemas Kini : 14 Dec 2017 09:29AM

KUALA LUMPUR: Tiada ibu bapa yang sanggup melihat anak menderita sakit hingga meragut separuh nyawa.

Apatah lagi apabila pasukan perubatan gagal untuk mengesahkan punca penyakit yang dialami anak mereka.

Itulah yang terpaksa dilalui Cik Norseila Nawi apabila anaknya yang hanya berusia 10 bulan pada Oktober lalu menderita kulit melepuh, muntah tanpa henti hingga mengeluarkan najis berdarah.

Cik Norseila mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena dengan anaknya, Adruce Mikael Ahmad Solahuddin selepas viral di media sosial isu susu bayi tiruan.

Menceritakan kepada agensi berita Astro Awani, sukar untuk ibu itu mengungkapkan apa yang berlaku kepada anaknya.

ANAK SAKIT SEBAIK SAHAJA SELEPAS MINUM SUSU

Pada lewat petang 9 Oktober lalu, Cik Norseila yang menetap di Setia Alam, Selangor terpaksa membeli sekotak susu di sebuah kedai serbaneka terkemuka yang mempunyai cawangan di seluruh Malaysia lantaran bekalan susu anak keduanya itu habis.

"Saya ke kedai rangkaian serbaneka dan saya membeli susu berjenama yang sama seperti biasa kerana di pasar raya telah habis bekalan.

"Pada subuh 10 Oktober, saya membuka susu berpaket dalam kotak itu dan masukkannya dalam tin. Itu yang selalu saya lakukan.

"Selepas saya bancuh dan bagi kepada anak saya, dia terus muntah dan keadaan sama berulang. Boleh dikira hampir sembilan kali dia muntah sejak pagi hingga pukul 3.00 petang.

"Selain muntah, kemudian naik ruam berwarna merah yang kelihatan agak melecur di seluruh badan dia. Pukul 3.00 petang anak saya tak bangun dan susu pun tak nak minum, jadi saya bawa dia ke hospital," katanya.


LANGSUNG TIDAK JANGKAKAN SUSU PUNCA ANAK SAKIT

Setelah membawa anaknya ke unit kecemasan sebuah hospital, doktor yang merawat anaknya mengesyaki Adruce Mikael mengalami dehidrasi atau kesugulan akibat muntah yang berterusan.

"Doktor ada bertanya saya susu apa yang saya berikan, saya sebutkan jenama susu yang saya beri. Kemudian doktor tidak langsung mengesyaki alahan susu kerana ia antara susu yang dicadangkan oleh doktor.

"Jadi doktor mengesyaki makanan (solid food) yang saya beri atau anak saya memasukkan sesuatu dalam mulutnya dari persekitaran rumah kerana dia sudah pandai merangkak," ujarnya.

Cik Norseila menambah, ketika itu beliau masih tidak menerima sebarang jawapan kukuh daripada doktor berkenaan punca sebenar penyakit yang dialami anaknya.

"Selepas itu, doktor masukkan saliran air garam (water drip). Perkembangannya sangat positif apabila dia berhenti muntah dan ruam berkurangan.

"Doktor kata jika ada apa-apa sakit baki kesan sampingan akan keluar melalui najis. Memang benar, najis anak saya sangat busuk dan agak berlendir.

"Empat hari di hospital, saya ada berikannya dua kali sahaja susu yang sama dan dua kali juga anak saya alami cirit birit selepas minum susu itu," katanya.

Bagaimanapun, Cik Norseila berkata beliau tidak mengesyaki langsung susu menjadi punca kejadian itu pada anaknya kerana baginya susu berjenama terkemuka itu adalah produk berkualiti tinggi.

KEADAAN ANAK TERUS MEMBURUK SELEPAS DIBERIKAN SUSU LAGI

Menurut Cik Norseila, doktor sudah menjalankan ujian darah bagi mengesan virus Rota atau Influenza, namun keputusannya negatif.

Pada 14 Oktober, Adruce Mikael dibenarkan keluar hospital. Setiba di rumah, Cik Norseila memberi anaknya susu jenama sama tanpa memberi sebarang makanan lain kerana gusar kejadian sama akan berulang.

Namun, tanggapannya meleset apabila keadaan anaknya bertambah serius berbanding 10 Oktober lalu, lapor Astro Awani.

"Pada 16 haribulan, keadaannya makin serius apabila dia muntah yang mengeluarkan lendir berwarna kekuningan dan berbuih. Malah, najis sangat banyak.

"Saya terus bawanya ke hospital dan doktor terpaksa menahan anak saya di dalam wad. Doktor mengesyaki virus. Tetapi hari ketiga, saya dapati najis anak saya berdarah.

"Adruce Mikael terpaksa melalui prosedur memasukkan antibiotik dalam badannya. Dia beransur pulih dan saya tidak memberikan langsung susu kepadanya," jelas ibu berusia 33 tahun itu.

IBU AMBIL TINDAKAN

Selepas media melaporkan rampasan susu tiruan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tempoh hari, Cik Norseila menghubungi semula doktor yang merawat anaknya.

"Doktor akui tidak membuat sebarang ujian darah berhubung pengambilan diet Adruce Mikael. Doktor kemudian minta saya datang semula baru-baru ini dan membuat ujian fungsi buah pinggang dan hati.

"Tapi keputusan ujian itu masih belum keluar lagi dan saya masih menunggu laporan penuh ujian darah tersebut.

"Saya juga telah membuat laporan kepada syarikat pengeluar produk susu berkenaan dan kepada KPDNKK, tapi masih belum ada maklum balas.

IBU TIDAK SAMPAI HATI LIHAT ANAK DERITA

Menurut laporan Astro Awani, Cik Norseila yang bekerja sebagai usahawan akui tinggal berjauhan dengan suaminya membuatkannya lebih cekal hadapi segala dugaan sebegitu.

"Saya ini agak kuat orangnya, sebab saya tinggal berjauhan dengan suami. Saya tidak akan menangis kalau anak saya sakit atau terpaksa ke hospital tengah malam.

"Tapi bila lihat najis pun berdarah, saya terus terduduk, demi Allah. Sekecil 10 bulan terpaksa tanggung derita sebegitu.

"Apatah lagi bila melihat anak saya melalui prosedur memasukkan antibiotik kerana saya tahu apabila antibiotik itu masuk ke dalam badan, ia akan terasa sangat sakit. Dia menangis tanpa henti," rintih Cik Norseila.

Justeru, beliau menasihati ibu bapa yang mempunyai gejala yang sama seperti anaknya supaya mendapatkan rawatan segera di hospital dengan melakukan pemeriksaan terperinci.

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan