Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Susu, kelapa muda boleh bantu cegah COVID-19? Pihak berkuasa Indonesia beri amaran maklumat palsu

Mesej yang mendakwa bahawa makanan tertentu berkesan dalam mencegah dan merawat COVID-19 menular pesat di platform pesanan teks dan media sosial, menyebabkan permintaan dan harga melambung tinggi di Indonesia.

Anggaran Waktu Membaca:
Susu, kelapa muda boleh bantu cegah COVID-19? Pihak berkuasa Indonesia beri amaran maklumat palsu

Sebuah gerai kelapa muda di Jakarta, Indonesia (Gambar: Nivell Rayda/Mediacorp)

Diterbitkan : 21 Jul 2021 12:35AM Dikemas Kini : 21 Jul 2021 12:45AM

JAKARTA: Daripada susu steril hingga ke kelapa muda, rakyat Indonesia kini memborong minuman, makanan dan rempah sedang kes COVID-19 melonjak dengan mendadak.

Mesej yang mendakwa bahawa makanan itu berkesan dalam mencegah dan merawat COVID-19 menular pesat di platform pesanan teks dan media sosial, menyebabkan permintaan dan harga melambung tinggi.

Namun, pakar yang ditemubual Mediacorp menyuarakan kebimbangan mereka tentang kemungkinan kesan sampingan daripada pengambilan berlebihan makanan dan minuman ini. Turut dikhuatiri ialah orang ramai mungkin menjadi leka serta mengabaikan protokol kesihatan kerana percaya mereka dilindungi.

"Orang ramai mendapat maklumat yang salah mengenai makanan ini dengan ada yang mendakwa ia dapat menyembuhkan COVID-19 atau setidaknya mencegah daripada dijangkiti atau merawat beberapa gejala," kata Dr Siti Nadia Tarmizi, Pengarah Kementerian Kesihatan Indonesia bagi Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit memberitahu kepada Mediacorp.

"Tidak ada ujian klinikal yang menunjukkan ia berkesan dalam mencegah, apatah lagi menyembuhkan, COVID-19."

Dr Siti Nadia berkata Kementerian Kesihatan telah berulang kali mengingatkan orang ramai agar tidak menyimpan bekalan barangan berkenaan, namun ia tidak diendahkan.

PERMINTAAN MELONJAK

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, beberapa video yang menunjukkan rakyat Indonesia berebut-rebut untuk menyimpan susu lembu jenama tertentu, menjadi tular di media sosial.

Fenomena itu muncul akibat maklumat yang belum disahkan bahawa jenama susu steril itu dapat meningkatkan antibodi, lantas akan mencegah jangkitan COVID-19.

Dengan lonjakan permintaan yang tinggi, beberapa penjual dikatakan telah menaikkan harga barangan sehingga lima kali ganda.

"Saya diberitahu bahawa susu ini baik untuk anda. Saya tidak begitu yakin ia akan melindungi keluarga saya daripada dijangkiti COVID-19 tetapi tidak ada salahnya mengambil langkah berjaga-jaga," kata suri rumah, Merry Sihombing, kepada Mediacorp.

Begitu juga dengan dengan permintaan bagi kelapa muda.

"Sejak minggu lalu, orang ramai membeli kelapa muda, kadang-kadang empat atau lima biji pada satu-satu masa," kata penjual kelapa, Jarot kepada Mediacorp.

Di pelbagai aplikasi pesanan dan media sosial, ada sahaja mesej yang mendakwa pelbagai produk sebagai rawatan COVID-19, dengan sedikit atau tiada langsung kajian saintifik untuk menyokong dakwaan mereka.

Nancy Suwandono, seorang suri rumah, memberitahu Mediacorp: "Saya ragu-ragu (tentang dakwaan sebegitu). Tetapi pada masa yang sama, saya tidak mahu harganya meningkat hingga saya tidak dapat membelinya."

MAKIN TERDESAK

Dr Hermawan Saputra dari Ikatan Kesehatan Masyarakat Indonesia (IAKMI) berkata orang ramai semakin terdesak untuk melindungi diri mereka sendiri, memandangkan pandemik sudah berlarutan selama setahun setengah dan jumlah kes terus melonjak.

“Pada saat ini, semakin ramai orang merasa mereka perlu melindungi diri dan keluarga mereka. Malangnya bagi sesetengah orang, ini bermakna mereka akan mempercayai apa sahaja. "

Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Siti Nadia berkata dengan permintaan yang tinggi, terdapat risiko pemakanan berlebihan.

"Sebahagian makanan ini mengandungi beberapa khasiat yang dapat meningkatkan daya tahan tubuh. Namun, pengambilannya secara berlebihan boleh memberi kesan sampingan,” nasihatnya.

Menurut jurnal perubatan, minum terlalu banyak susu boleh menyebabkan masalah penghadaman manakala kelapa mengandungi paras potasium yang tinggi dalam darah yang boleh menjejas buah pinggang.

"Makanan dan minuman ini tidak boleh menggantikan dua cara utama untuk mencegah jangkitan COVID-19, iaitu mematuhi protokol kesihatan yang ketat dan vaksinasi," tegasnya.

Indonesia mencatat 2.8 juta kes COVID-19 sejak pandemik itu bermula. Daripada jumlah ini, sekitar 350,000 orang diuji positif dalam tempoh seminggu lalu. Antara 800 hingga 1,200 orang meninggal dunia setiap hari akibat penyakit itu sejak tujuh hari lalu, menjadikan angka kematian di negara itu melebihi 70,000. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan