Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Suspek tikam leher ibu sehingga maut direman seminggu

Suspek lelaki yang menikam leher ibunya sehingga maut pada Selasa(12 Nov), kini direman seminggu sehingga 19 Nov ini, kata Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali.

Anggaran Waktu Membaca:
Suspek tikam leher ibu sehingga maut direman seminggu

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 13 Nov 2019 07:32PM Dikemas Kini : 13 Nov 2019 07:36PM

KUANTAN: Suspek lelaki yang menikam leher ibunya sehingga maut pada Selasa(12 Nov), kini direman seminggu sehingga 19 Nov ini, kata Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali.

Beliau berkata perintah reman dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman pada prosiding yang dijalankan di Wad Psikiatrik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, hari ini.

Turut hadir di prosiding itu ialah Timbalan Pendakwa Raya Syarifah Nursyuhada Tuan Mamat dan doktor psikiatrik HTAA Dr Hanisah Mohd Nor.

"Permohonan reman dilakukan di hospital kerana suspek ditahan di situ, selepas ditangkap ekoran keadaannya dibimbangi boleh mendatangkan bahaya jika ditahan di lokap biasa.

"Majistret juga memerintahkan supaya sepanjang tempoh reman, suspek ditahan di Hospital Tampoi, Johor," katanya kepada pemberita di sini, hari ini (13 Nov).

Semasa kejadian semalam, suspek dipercayai menikam ibunya, yang berusia 62 tahun, di ruang tamu rumah mereka di Taman Kampung Padang di sini, kemudian meletakkan mayat ibunya di atas kerusi roda dan menolak kerusi roda itu keluar dari rumah sejauh 50 meter.

Suspek yang difahamkan mempunyai rekod rawatan mental juga dipercayai menikam adik perempuan dan rakan lelakinya, yang secara kebetulan melalui kawasan tempat dia meletak mayat ibunya.

Sementara itu, mangsa lelaki yang berusia 38 tahun yang cedera ditikam pada bahagian lengan kanan oleh suspek. Beliau ketika itu membawa adik perempuan suspek berusia 26 tahun, yang baru tamat kerja syif malam di sebuah pasar raya 24 jam untuk menghantar makanan kepada mangsa dan suspek.

Beliau mengetahui suspek bergantung kepada ubat kerana sakit mental dan tinggal di situ bersama mangsa yang tidak boleh bergerak akibat patah tulang belakang dan adik bongsu lelaki suspek yang semasa kejadian tiada di rumah kerana mengikuti kelas lesen memandu.

"Semasa hendak sampai, saya nampak suspek menolak kerusi roda mak cik (mangsa) dengan baju dipenuhi darah. Belum sempat kami bertanya, dia terus menyerang kami sehingga motosikal jatuh dan menghempap kami.

"Saya tidak dapat menyelamatkan adik perempuan suspek yang ditikam beberapa kali pada bahagian belakang badan sebelum kami diselamatkan orang ramai di situ," katanya dan menambah mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil namun masih trauma.

Beliau berkata keluarga suspek sebelum ini menetap di Nenasi, Pekan dekat sini dan Bukit Sekilau, di sini sebelum berpindah ke Taman Kampung Padang setahun lalu.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan