Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Suspek serangan Christchurch mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan

Suspek lelaki yang dituduh menembak mati 51 jemaah di dua masjid Christchurch mengaku tidak bersalah hari ini (14 Jun) atas beberapa dakwaan membunuh dan kegiatan pengganasan dan akan dibicarakan tahun depan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Jun 2019 09:58AM Dikemas Kini : 14 Jun 2019 10:13PM

CHRISTCHURCH: Suspek lelaki yang dituduh menembak mati 51 jemaah di dua masjid Christchurch mengaku tidak bersalah hari ini (14 Jun) atas beberapa dakwaan membunuh dan kegiatan pengganasan dan akan dibicarakan tahun depan.

Hadir di Mahkamah Tinggi Christchurch menerusi rangkaian audio visual dari penjara kawalan ketat di Auckland, Brenton Tarrant hanya duduk membisu ketika peguamnya, Shane Tait, berkata bahawa tertuduh mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan.

Lelaki yang mendakwa dirinya pelampau kulit putih itu didakwa atas 51 tuduhan membunuh, 40 tuduhan cubaan membunuh dan terbabit dalam kegiatan pengganasan berikutan tragedi pembunuhan beramai-ramai pada 15 Mac lalu di bandar South Island tersebut.

Rakyat Australia berusia 28 tahun itu didakwa melepaskan tembakan rambang di masjid Al Noor semasa solat Jumaat sebelum meneruskan perbuatan sama di masjid Linwood sambil menyiarkan kelakuan kejamnya secara langsung di media sosial.

Mahkamah diberitahu pemeriksaan kesihatan mental ke atas tertuduh mendapati dia sihat untuk menjalani perbicaraan bagi tragedi pembunuhan beramai-ramai paling buruk dalam sejarah moden New Zealand itu.

"Tiada masalah yang timbul mengenai kebolehan defendan untuk merayu, memberi arahan kepada peguam dan menghadiri perbicaraannya. Pendengaran tentang kecergasan tidak diperlukan," kata Hakim Cameron Mander dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sejurus selepas sesi pendengaran berkenaan.

Kira-kira 80 jemaah yang terselamat dan ahli keluarga mangsa turut hadir memenuhi galeri awam mahkamah untuk melihat kelibat Tarrant.

Mengenakan kemeja-T kelabu berleher bulat, Tarrant dilihat tersenyum sinis beberapa kali semasa sesi pendengaran tersebut dijalankan.

Hakim Mander menetapkan 4 Mei tahun depan sebagai tarikh perbicaraan dengan Tait berkata ia dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya enam minggu.

Tarrant berada dalam tahanan sementara menanti tarikh 15 Ogos untuk hadir semula di mahkamah bagi menghadiri sesi penilaian kes.

Mander juga melarang semua agensi berita dari merakam gambar atau video penampilan Tarrant dan mengarahkan mereka menggunakan imej dari sesi pendengaran sebelumnya iaitu pada April lalu. 

Sumber : AFP/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan