Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Suspek pembunuhan stesen minyak JB dihantar pulang minggu depan

Seorang lelaki asal Johor yang disyaki dalang dalam pembunuhan kejam seorang lelaki di Taman Pelangi, Johor Baharu Disember lalu, mungkin dihantar pulang ke Malaysia, minggu depan.

Anggaran Waktu Membaca:
Suspek pembunuhan stesen minyak JB dihantar pulang minggu depan

Suspek mempunyai satu tatu besar di lengan kanannya. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 01 Jun 2018 08:18AM Dikemas Kini : 01 Jun 2018 08:20AM

BANGKOK: Seorang lelaki asal Johor yang disyaki dalang dalam pembunuhan kejam seorang lelaki di Taman Pelangi, Johor Baharu Disember lalu, mungkin dihantar pulang ke Malaysia, minggu depan.

Menurut sumber, proses penghantaran pulang lelaki berusia 36 tahun itu dijangka selesai minggu depan sebelum dia boleh dihantar pulang ke Malaysia bagi menghadapi pertuduhan berkaitan pembunuhan yang mengejutkan seluruh Malaysia itu.

"Dia mungkin dalam perjalanan pulang ke Malaysia minggu depan sekiranya semua proses ekstradisinya selesai (di Thailand). Isterinya juga akan dihantar pulang dari Thailand," menurut sumber.

Suspek memasuki Thailand pada Disember tahun lalu, tidak lama selepas berlaku pembunuhan pada 17 Disember. Suspek dan isterinya ditangkap polis di wilayah Chaiyaphum di timur laut negara itu.

Lelaki berkenaan dipercayai mendalangi pembunuhan lelaki berusia 44 tahun itu, yang dikenali sebagai 'Ah Chiu'. Mangsa ditikam dan digilis tanpa belas kasihan dengan sebuah kereta BMW berwarna putih di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi.

Pembunuhan lelaki yang dikaitkan dengan kumpulan kongsi gelap itu dirakam dan menjadi tular di media sosial.

Beberapa suspek dalam kes bunuh itu dipercayai melarikan diri ke Thailand. Polis Diraja Malaysia (PDRM) kemudian memohon bantuan pihak berkuasa Thailand untuk mengesan mereka.

PDRM juga memaklumkan Interpol tentang lelaki yang disyaki mendalangi pembunuhan itu dan Notis Biru turut dikeluarkan. Notis Biru Interpol merujuk kepada permintaan untuk menjejaki, mengenal pasti atau mendapatkan maklumat tentang orang yang menjadi perhatian.

Kelmarin (30 Mei), suspek yang mempunyai tatu besar ‘Jesus Christ’ pada lengan kanannya, dibawa ke ibu pejabat Polis Diraja Thailand untuk diambil keterangannya.

Sementara itu, menurut sumber berkenaan, Bukit Aman menubuhkan sebuah pasukan khas yang dalam keadaan bersiap sedia bagi mengambil suspek di Thailand untuk dibawa pulang ke Malaysia.

"Mereka akan berlepas dari Kuala Lumpur ke Bangkok sebaik sahaja mendapat lampu hijau daripada rakan sejawatan mereka di Thailand, yang membenarkan mereka membawa pulang suspek ke Malaysia," katanya sambil menjelaskan bahawa pasukan khas itu dianggotai pegawai polis dari Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Menurut sumber berkenaan lagi, sejurus tiba di Kuala Lumpur, lelaki yang didakwa mendalangi pembunuhan itu, akan dibawa ke Johor Baharu untuk menjalani siasatan lanjut. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan