Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Suspek pembunuhan amah Filipina, pasangan suami isteri ditahan

Kedua-dua majikan seorang pembantu rumah Filipina yang ditemui mati dalam peti sejuk di Kuwait sudahpun diberkas di ibu kota Syria, Damsyik, menurut para pegawai Lubnan dan Filipina semalam (24 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Suspek pembunuhan amah Filipina, pasangan suami isteri ditahan

Kakak pembantu Filipina yang dibunuh penuh kesedihan. (Gambar: TED ALJIBE/AFP)

Diterbitkan : 25 Feb 2018 09:55AM Dikemas Kini : 25 Feb 2018 09:59AM

BEIRUT: Kedua-dua majikan seorang pembantu rumah Filipina yang ditemui mati dalam peti sejuk di Kuwait sudahpun diberkas di ibu kota Syria, Damsyik, menurut para pegawai Lubnan dan Filipina semalam (24 Feb).

Pihak berkuasa Syria menyerahkan Nader Essam Assaf kepada Beirut pada Jumaat lalu (23 Feb) kerana dia merupakan warga Lubnan tetapi isterinya, Mona masih ditahan di Damsyik, kata seorang pegawai kehakiman Lubnan.

Pembunuhan Joanna Demafelis mencetus kemarahan di Filipina dan mendesak Presiden Rodrigo Duterte untuk mengenakan larangan ke atas rakyatnya yang merancang untuk bekerja di Kuwait.

Mayat amah Filipina yang berusia 29 tahun itu yang dikatakan menunjukkan tanda-tanda didera, ditemui dalam peti sejuk di sebuah apartmen yang terbengkalai milik pasangan yang ditahan itu.

Assaf dan isterinya diburu Interpol sejak mayat Demafelis ditemui lebih setahun lalu selepas keluargnya membuat laporan beliau hilang.

“Pasangan itu ditahan di Damsyik. Mereka merupakan sasaran notis merah Interpol dan pihak berkuasa Syria sudahpun menyerahkan suaminya untuk ditahan pihak Lubnan pada pagi Jumaat lalu,” kata pegawai tersebut.

“Syria menahan isterinya kerana dia warga Syria,” tambahnya.

“Lubnan sudahpun mengarahkan Kuwait untuk menyerahkan rekod polis suaminya juga.”

Menurut pegawai itu, selepas melarikan diri dari Kuwait, pasangan suami isteri berkenaan menetap seketika di Lubnan sebelum berangkat ke negara jiran, Syria.

Jabatan ehwal luar Filipina juga mengesahkan penahanan kedua itu dalam satu kenyataan malam semalam (24 Feb).

“Dengan kedua-dua suspek dalam tahanan, (pihak berkuasa Filipina) akan menuruti arahan Presiden Duterte untuk memperjuangkan dengan kuat, keadilan bagi Demafelis,” kata setiausaha ehwal luar, Alan Cayetano.

Presiden Duterte berikrar untuk membawa keadilan kepada keluarga Demafelis. Beliau membidas negara-negara Teluk dan menuduh majikan-majikan Arab kerap merogol para pekerja Filipina, memaksa mereka bekerja selama 21 jam sehari dan memberi mereka sisa-sisa makanan.

Kuwait sudahpun menyatakan bahawa ia sedang menyiasat laporan-laporan kematian dan penderaan pekerja asing. Namun ia berkeras menyatakan bahawa jumlah kes demikian kecil memandangkan terdapat lebih 250,000 pekerja Filipina yang bekerja di sana.

Presiden Duterte tetap menghantar sekumpulan pegawai buruh ke Kuwait untuk mendapatkan perlindungan lebih baik bagi pekerja asing. 

Sumber : AFP/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan