Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Suspek diberkas berhubung kes pembuangan haram sisa kimia di Selangor

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dengan kerjasama polis memberkas suspek yang disyaki terbabit dalam kes pembuangan haram sisa kimia di rezab Sungai Langat, Taman Seri Reko, Kajang, Selangor pada 3 Feb lalu. 

Anggaran Waktu Membaca:
Suspek diberkas berhubung kes pembuangan haram sisa kimia di Selangor

(Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 08 Feb 2021 08:35AM Dikemas Kini : 08 Feb 2021 08:43AM

KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dengan kerjasama polis memberkas suspek yang disyaki terbabit dalam kes pembuangan haram sisa kimia di rezab Sungai Langat, Taman Seri Reko, Kajang, Selangor pada 3 Feb lalu. 

Ketua Pengarah Alam Sekitar Norlin Jaafar yang memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataan pada Ahad (7 Feb) bagaimanapun tidak menyatakan jumlah suspek yang diberkas pihak berkuasa itu pada Sabtu (6 Feb).

Menurutnya, berdasarkan maklumat risikan, JAS Selangor menemukan sebuah lori tiga tan yang disyaki digunakan dalam aktiviti itu yang nyaris menyebabkan Sungai Langat tercemar dan lori terbabit disita jabatan berkenaan untuk siasatan lanjut.

Katanya, kertas siasatan sedang dilengkapkan untuk membawa suspek terbabit ke muka pengadilan di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang membawa hukuman berat iaitu penjara mandatori dan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 (S$164,749).

"Saya ingin merakamkan penghargaan kepada orang awam yang melaporkan mengenai kejadian ini dan sebarang aduan pencemaran hendaklah dilaporkan terus ke talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727 atau e-mel  ke aduan_k [at] doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

"Saya juga ingin menegaskan bahawa JAS sentiasa mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi terhadap penjenayah alam sekitar," katanya.

Pada 3 Feb, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam kenyataan turut memaklumkan pihaknya akan melakukan siasatan lanjut berikutan penemuan tong-tong berisi bahan buangan berjadual yang berpotensi menjadi punca pencemaran sungai.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan