Images
  • tokong topiah 2
    Petikan dari rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki berkopiah menyembah tokong. (Gambar: YouTube/Dato' Lokman Noor Bin Adam)

Suspek berkopiah puja tokong dibebaskan dengan jaminan polis

BAGAN SERAI: Seorang nelayan lelaki yang ditahan polis bagi membantu siasatan kes pemujaan Tokong Dato Kong di Tanjung Piandang di Bagan Serai, Perak, semalam, akan dibebaskan hari ini (11 Jun).

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata pasukan siasatan dari Bukit Aman akan menjalankan siasatan dan permohonan reman ke atas lelaki itu yang sepatutnya dikemukakan di Mahkamah Majistret Parit Buntar hari ini dibatalkan, lapor Bernama.

Suspek itu ditahan bagi membantu siasatan kes pemujaan Tokong Dato Kong di Taman Piandang Indah, Tanjung Piandang yang terakam dalam satu video tular di media sosial baru-baru ini.

Utusan Online melaporkan, ia memaparkan lelaki berkenaan, yang memakai kopiah putih dan kain pelekat, memegang colok dan melutut, serta menyembah-nyembah tokong tersebut sambil kelakuannya itu dirakam individu lain.

Superintendan Omar Bakhtiar berkata suspek yang berumur 43 tahun dari Tanjung Piandang itu dijangka dibebaskan dengan jaminan polis dalam tempoh 24 jam atau sebelum 7.00 malam hari ini atau selepas siasatan selesai dijalankan.

"Kes ini tidak terhenti di sini kerana siasatan daripada pelbagai aspek akan diteruskan terhadap suspek,” katanya ketika dihubungi oleh Bernama hari ini.

Semalam, Superintendan Omar Bakhtiar berkata pihaknya menahan suspek yang menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian pada 5.00 petang semalam.

- Agensi berita/ZM/zm

Top