Images
  • solat istisqa
    (Gambar: ANTARA)

Sungguh ramai! Lebih 12,000 murid pesantren dirikan solat minta hujan

JAWA TIMUR: Sekurang-kurangnya 12,000 pelajar dari Pondok Pesantren Sunan Drajat, Paciran, Kabupaten Lamongan, Jawa Timur, bersama Madrasah Kader Nahdlatul Ulama (MKNU) dan Ikatan Sarjana Nahdlatul Ulama (ISNU) Jawa Timur mendirikan solat sunat Istisqa memohon turunya hujan dan berakhirnya kemarau panjang.

Setiausaha ISNU Jawa Timur, M. Dawud, berkata solat Istisqa di Lamongan itu pada Sabtu (14 Sep) dengan begitu ramai orang merupakan gagasan KH (Kiyai) Abdul Ghofur, mudir pondok pesantren Sunan Drajat.

"Kami juga di sini untuk menyumbang kepada masyarakat. Solat Istisqa adalah salah satu bentuk sumbangan," kata Encik Dawud kepada wartawan.

Solat itu dipimpin oleh Ketua PWNU Jawa Timur Kiyai Marzuki Mustamar, disusuli khutbah dan doa yang turut dipimpin Kiyai Marzuki.

Dalam khutbahnya, Kiyai Marzuki mengingatkan bahawa kemarau panjang dan berkurangannya rezeki mungkin disebabkan oleh nikmat-nikmat yang diberikan Allah yang sepatutnya digunakan untuk kemaslahatan masyarakat sebaliknya disalahgunakan untuk tujuan tidak bermoral.

Kiyai Marzuki juga berpesan agar masyarakat tidak mudah dipecah-belahkan, saling berdebat atau menyebarkan kepalsuan.

"Perpecahan di kalangan umat Islam, adalah sebab azab, umat dan jemaah membawa rahmat dari Allah SWT. Mari kita selepas Pemilu (Pilihan Raya Umum), Pilpres (Pilihan raya Presiden), Pilkada (Pemilihan ketua daerah) atau Pilkades (Pemilihan kepala desa), kita bersatu kembali," katanya.

Sebelum ini, kemarau panjang melanda beberapa kawasan di Kabupaten Lamongan yang menjejas teruk beberapa kawasan kampung.

- ANTARA/TQ/tq

Top