Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sumbangan Muslim S'pura bantu lebih 400 keluarga pasca gempa Aceh

Bukan sekadar menghulurkan bantuan segera pasca bencana tetapi juga membangkitkan semangat berdikari kepada mereka yang terjejas.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Bukan sekadar menghulurkan bantuan segera pasca bencana tetapi juga membangkitkan semangat berdikari kepada mereka yang terjejas.

Itulah yang telah dicapai Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) sepanjang 10 tahun sejak ia ditubuhkan.

Baru-baru ini wartawan BERITAmediacorp, Izwan Ohtman dan Ummu Rabbisyfina turut serta dalam satu misi RLAF ke Aceh bagi menyaksikan sendiri usaha murni mereka itu.

BANGKIT SEMULA

Rutin seharian Encik Hasballah Razak bermula sewal subuh lagi sehinggga larut petang di ladang pertanian garam.

Walaupun sudah mencecah usia hampir 60 tahun, bapa kepada enam orang anak itu masih lagi bermandi keringat untuk mengusahakan pertanian garamnya.

Namun, apabila gempa sekuat 6.5 Richter melanda Aceh pada 2016, nasibnya bagai jatuh ditimpa tangga.

Semua harta bendanya ranap ditelan bumi.

Kini, tiga tahun kemudian, Encik Hasballah bangkit kembali berkat bantuan daripada badan-badan kemanusian Singapura - Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) dan Mercy Relief, serta badan tempatan Pusat Kajian dan Perlindungan Anak (PKPA).

PENDAPATAN NAIK 150%

Encik Hasballah merupakan salah seorang daripada 400 keluarga yang dibantu di bawah projek 'Resilient Aceh'.

Di bawah projek ini penduduk Kampung Lancang Paru diajar untuk memperbaiki kaedah pertanian garam mereka agar dapat menambah pendapatan serta menguruskan kewangan mereka.

Kini pendapatan Encik Hasballah bertambah sebanyak 150% daripada hanya S$4 sehari,kepada S$10 hingga S$18 sehari bergantung kepada harga pasaran garam.

"Cara belanjanya jadi untuk untuk anak, duit jajan untuk anak. Diberi untuk simpan. Jadi misalnya dulu kami lima ribu rupiah setiap anak. Sekarang kami kurangkan. Kalau dulu kami tidak tidak begitu, berapa diminta oleh anak, terus kasi," kongsi Encik Hasballah.

DERMA SEBANYAK S$179,000

Segala usaha itu dapat direalisasikan hasil sifat murah hati penduduk Singapura yang telah menghulurkan derma sebanyak S$179,000 tiga tahun lalu bagi membantu mangsa-mangsa gempa bumi di Banda Aceh.

"Apa yang kita lihat ialah sumbangan dari kemurahan hati yang ditonjolkan daripada masyarakat (Singapura) pada waktu itu telah mendorong kami untuk memikirkan bagaimana sifat keihsanan ini dilanjutkan menjangkaui pada peristiwa tsunami dahulu," kata Encik Mohammad Helmy Mohd Isa, anggota Lembaga Pemegang Amanah RLAF.

"RLAF akan terus bekerjasama dengan rakan kerja kami Mercy Relief untuk memikirkan cara yang terbaik atau usaha–usaha untuk membantu masyarakat di sini yang terkesan dengan gempa 2016.

"Melalui projek–projek yang innovatif masyarakat dapat terus dibantu," katanya.

BANTUAN MANFAATKAN LEBIH DARIPADA PENDUDUK KAMPUNG

Bagi Encik Teuku Satria Mahmud sebagai seorang Penyelaras 'Project Resilient' di Aceh, pula, kesan bantuan yang dihulurkan badan kemanusiaan Singapura itu tersebar menjangkaui kampung tersebut.

"Sebenarnya, maklum balas dari program yang kita lakukan, program Resilient Aceh ini, itu memberi dampak sangat besar bukan hanya di desa ini.

"Tapi di seluruh daerah dan Aceh khususnya. Itu memberi dampak kenapa kita membangunkan keupayaan ekonomi masyarakat Lancang Paru ini benar-benar dari bawah," kongsi beliau dengan BERITAmediacorp.

"Kini kita lihat mereka lebih ceria, kalau dulu datang pertama kusut, sedih. Berbicara pun mereka takut. Tapi sedang mereka kegiatan mereka boleh bercanda dengan teman, boleh bertukar informasi saling belajar.

"Kemudian kita lihat benarkah komitmen mereka itu mampu untuk mengembangkan model bersama," kata Cik Soniy Sucihati Saniman, seorang fasilitator dan konsultan bagi pembangunan masyarakat PKPA.

Ternyata bantuan seperti itu lebih bermakna kerana kesannya berpanjangan dan mampan.

Sepanjang 10 tahun penubuhannya, RLAF sudah menghulurkan bantuan di Indonesia, India, Sri Lanka dan Nepal.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan