Images
  • sultan selangor
    Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah. (Gambar: Facebook/Selangor Royal Office). 

Sultan terkejut hanya 600,000 dos vaksin COVID-19 diberikan di Selangor

KUALA LUMPUR: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah meluahkan rasa terkejut setelah mendapat tahu bahawa negeri itu hanya menerima 615,210 dos vaksin COVID-19 setakat 1 Jun.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh setiausaha sulitnya, Mohamad Munir Bani pada Selasa (8 Jun), Sultan Sharafuddin berkata nisbah agihan dos vaksin tidak setara dengan penduduk Selangor seramai 6.5 juta.

"Sultan terkejut apabila Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) mengesahkan bahawa setakat sehingga 1 Jun, Selangor hanya menerima 615,210 dos vaksin COVID-19 dan bukan 2.9 juta seperti yang tertera sebelum ini.

"Sultan ingin mengingatkan bahawa Selangor adalah penyumbang terbesar kepada hasil dalam negeri kasar (GDP) Malaysia, justeru keutamaan harus diberikan kepada negeri ini," menurut kenyataan tersebut.

Sebelum ini, CITF menyatakan Selangor sudah menerima 2.9 juta dos setakat 30 Mei, namun negeri itu hanya memberikan 398,029 dos menjelang tarikh yang sama.

Pasukan bertindak itu kemudian akur terdapat kesilapan data pada 5 Jun, menjelaskan bahawa 2.9 juta itu termasuk kedua-dua stok vaksin dalam kemudahan kerajaan dan bekalan dalam gedung pengedar yang berpangkalan di Selangor, yang akan diagihkan kepada seluruh negeri.

Dalam kenyataan pada Selasa, Sultan Sharafuddin menggesa agar jumlah pusat pengagihan vaksin di Selangor ditambah, terutama sekali di kawasan pedalaman di negeri itu. Beliau berpendapat bahawa kemudahan vaksinasi pandu lalu atau klinik-klinik bergerak akan dapat membantu meningkatkan pemberian vaksin.

Sultan Sharafuddin juga meluahkan rasa kecewanya terhadap sikap antivaksin di Selangor.

"Sultan berharap orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan fahaman yang terpesong seperti ini," menurut kenyataan itu sambil menambah bahawa Sultan Sharafuddin berasa bimbang jika terdapat mereka yang enggan divaksin dan sasaran untuk mencapai imuniti kelompok menjelang hujung tahun ini tidak akan tercapai sekali gus meletakkan negara dalam krisis wabak yang lebih meruncing dan berbahaya.

Sultan Sharafuddin turut memuji usaha agresif oleh kerajaan negeri dalam menawarkan ujian swab COVID-19 secara percuma dan menasihatkan para penduduk yang sudah divaksin supaya terus berwaspada.

"Sultan berharap semua orang akan menghargai pengorbanan para petugas barisan hadapan dan memberi kerjasama penuh terhadap usaha untuk mengawal dan menghapuskan pandemik COVID-19 dalam negara ini," menurut kenyataan itu lagi.

Pada Isnin (7 Jun), jumlah kes COVID-19 di Malaysia merosot ke paras bawah 6,000 buat kali pertama dalam hampir tiga minggu.

Jumlah rekod 9,020 kes dilaporkan pada 29 Mei, sebelum negara itu melaksanakan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) pada 1 Jun.

Hari ini, 5,566 kes baru dilaporkan di Malaysia, menjadikan jumlah terkumpul kes sebanyak 627,652.

- CNA/HA/ha

Top