Images
  • sultan selangor
    Gambar: Selangor Royal Office/Facebook

Sultan Selangor bimbang ada balik kampung sempena Aidiladha

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan masih ada individu yang berdegil untuk pulang ke kampung di luar daerah sempena perayaan Aidiladha esok.

Menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi Selangor Royal Office hari ini (19 Jul), beliau mengambil kesempatan menasihati umat Islam agar menyambut Aidiladha di rumah masing-masing demi mengelak penularan wabak COVID-19.

“Baginda masih berdukacita kerana perayaan umat Islam yang sepatutnya disambut dengan semangat kesatuan ummah bagi mengeratkan ukhwah ini, terpaksa diadakan dalam keadaan yang terhad dan waspada.

“Baginda berharap sambutan kali ini diraikan dalam suasana sederhana dan setiap aktiviti membabitkan ibadah korban dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),” menurut catatan tersebut.

Sultan Sharafuddin juga berharap umat Islam terus memanjatkan doa setiap kali selepas solat agar rakyat Malaysia terus dilindungi dan dijauhkan daripada musibah wabak COVID-19 dan kematian.

Beliau turut menggesa orang Islam supaya mengukuhkan perpaduan dan teguh bersatu hati menuruti setiap perintah Allah serta tidak mengadu domba dan bertelingkah mengenai isu-isu remeh yang tidak bermanfaat.

Sementara itu beliau dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah turut menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha 1442 Hijrah kepada seluruh umat Islam di Selangor.

- BERNAMA/SM/sm

Top