Images
  • sultan ibrahim sultan iskandar
    Gambar: Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Sultan Johor ikrar RM1 juta bantu operasi rawat pencemaran toksik

JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengurniakan sumbangan bernilai RM1 juta (S$331,253,901) bagi memperhebatkan operasi menyelamat, merawat serta mencegah pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang.

Menerusi catatan Facebook Sultan Johor, Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah berkata sumbangan itu juga membolehkan agensi penyelamat serta pihak berkuasa yang terbabit dalam operasi berkenaan dapat memperlengkapkan pasukan masing-masing dengan kemudahan yang diperlukan.

"Tuanku Sultan ada membincangkan perkara ini dengan saya sebagai Penasihat DiRaja Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan baginda juga amat tersentuh apabila mendengar sebuah klip rakaman di mana seorang lelaki menangis sambil meminta bantuan menyelamatkan anaknya.

"Tuanku Sultan turut berpendapat dengan kurniaan sumbangan peribadi baginda, ia dapat membantu pihak berkuasa serta agensi penyelamat seperti bomba dan PDRM (Polis Diraja Malaysia) memperlengkapkan pasukan mereka demi membantu rakyat,” titah Permaisuri Johor kepada Royal Press Office (RPO) yang dimuat naik ke Facebook rasmi Sultan Johor hari ini (14 Mac).

Dalam satu kenyataan sebelum ini, Sultan Johor kesal terhadap mereka yang didapati terlibat dalam kes pembuangan bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim di Pasir Gudang sehingga memberi kesan kepada murid, pelajar sekolah serta orang awam.

Beliau mahu pihak berkuasa melakukan siasatan secara menyeluruh terhadap insiden itu serta mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melakukan perbuatan tersebut.

Pencemaran toksik sejak Khamis lalu (7 Mac) akibat pembuangan bahan kimia di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang merekodkan sejumlah 506 orang dirawat dengan sembilan daripadanya di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI).

Berikutan itu, kesemua 111 sekolah di Pasir Gudang, diarah ditutup serta-merta mulai semalam sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

- BERNAMA/SM/sm

Top