Images
  • dr m sultan 1
    Sultan Johor menghantar Dr Mahathir Mohamad ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dengan menaiki kereta Proton Saga berusia 34 tahun. (Gambar: Bernama)

Sultan Johor hantar Mahathir pulang naik Proton Saga 34 tahun

JOHOR BAHRU: Sultan Johor hari ini (10 Jan) menghantar sendiri Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dengan menaiki kereta Proton Saga berusia 34 tahun, selepas mereka selesai mengadakan mesyuarat di Istana Bukit Serene di Johor Bahru.

Sultan Ibrahim memandu sendiri kereta berwarna biru itu yang mempunyai nombor pendaftaran Proton 1, iaitu Proton Saga edisi pertama, yang dihadiahkan Dr Mahathir kepada bapa Sultan Ibrahim iaitu Sultan Iskandar pada 1985.

Ditanya mengenai perjalanan 22 kilometer dari Istana Bukit Serene ke lapangan terbang dengan menaiki kereta tersebut, Dr Mahathir berkata: "Saya fikir ia satu pengendorsan bagi sebuah kereta Proton. Berusia 34 tahun, masih dalam keadaan baik."


(Gambar: Facebook/Sultan Ibrahim Sultan Iskandar)

"Sangat bagus. Kereta berusia 34 tahun yang saya berikan kepada ayahanda baginda (Almarhum Sultan Iskandar) di KL (Kuala Lumpu)... manual... jamnya masih elok berfungsi... perjalanan sangat lancar... tidak berlaku kerosakan.

“Ia telah merekodkan (perjalanan sejauh) 22,000 km. Harga dia dulu 17,000 (ringgit). Sebab itu saya mampu beri sebagai hadiah kepada Agong,” kata Dr Mahathir.

Ketika itu, Sultan Iskandar merupakan Yang di-Pertuan Agong kelapan.

Pertemuan empat mata dengan Sultan Ibrahim pada Khamis (10 Jan) merupakan yang pertama sejak Dr Mahathir mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri ketujuh menyusuli Pilihan Raya Umum ke-14 yang diadakan pada Mei tahun lalu.

Menurut Dr Mahathir, beliau dan Sultan Ibrahim "bertukar pandangan secara bebas" semasa mesyuarat itu dan mereka juga bersetuju untuk bercakap secara jujur dan terbuka, "dengan tiada apa untuk disembunyikan".


Semasa bercakap di sidang media selepas mesyuarat selama 90 minit tersebut, Dr Mahathir berkata: "Banyak isu dibincangkan semasa mesyuarat itu tetapi itu adalah antara baginda dengan saya."

Apabila ditanya sama ada subjek mengenai pelantikan Yang di-Pertuan Agong Malaysia seterusnya dibincangkan, Dr Mahathir berkata itu adalah satu perkara bagi sultan-sultan Malaysia dan tidak ada kena mengena dengan dirinya.

Majlis Raja-Raja Malaysia akan melantik Yang di-Pertuan Agong baru pada 24 Januari selepas Sultan Muhammad V meletak jawatan pada Ahad (6 Jan).  

- BERNAMA/CNA/AI/ai

Top