Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sultan Brunei raikan ulang tahun ke-50 bertakhta dengan sambutan gah, penuh istiadat

Sultan Brunei akan meraikan ulang tahun ke-50 beliau bertakhta di negara tersebut dengan mengadakan sambutan gah yang merangkumi perarakan yang gilang-gemilang, melepaskan 21 das tembakan sebagai tanda hormat dan upacara penuh istiadat di istananya.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 05 Oct 2017 11:03AM Dikemas Kini : 05 Oct 2017 10:45PM

BANDAR SERI BEGAWAN: Sultan Brunei akan meraikan ulang tahun ke-50 beliau bertakhta di negara tersebut dengan mengadakan sambutan gah yang merangkumi perarakan yang gilang-gemilang, melepaskan 21 das tembakan sebagai tanda hormat dan upacara penuh istiadat di istananya.

Pesta bagi Sultan Hassanal Bolkiah - yang bakal menyaksikan Sultan berarak di hadapan khalayak ramai - adalah antara acara utama dalam sambutan jubli emas itu.

Sultan yang berusia 71 tahun itu adalah raja yang kedua paling lama bertakhta di dunia, naik takhta sejak Oktober 1967.

Kerajaannya yang merupakan antara salah satu kerajaan beraja di dunia mencapai kemerdekaan dan berjaya meningkatkan mutu kehidupan rakyatnya yang merupakan antara yang tertinggi di dunia disebabkan bekalan minyak dan gas yang besar di negara itu.

Walau bagaimanapun, kepimpinan Sultan Brunei, yang merupakan salah seorang tokoh lelaki yang paling kaya di dunia, juga dibelenggu dengan kontroversi.

Ini termasuk penguatkuasaan undang-undang Islam yang tegas pada 2014 dan perselisihan keluarga yang mendedahkan kehidupan mewah adiknya Putera Jefri Bolkiah.

Jubli Emas itu merupakan peluang bagi negara tersebut untuk menumpukan perhatian kepada sambutan bagi meraikan Sultan Brunei yang disanjung tinggi oleh seluruh rakyatnya.

Sambutan hari ini bermula dengan pemeriksaan kawalan kehormatan diraja oleh Sultan dan isterinya, yang disusuli dengan upacara melepaskan 21 das tembakan sebagai tanda hormat.

PM Lee dan isteri akan bertemu Sultan Brunei di istana, iaitu sebuah bangunan berwarna putih yang gah dan dihiasi dengan kubah emas dan menempatkan sekitar 1,800 bilik.

Kemuncak acara hari ini yang merupakan sebahagian daripada sambutan jubli emas selama dua minggu itu adalah sebuah perarakan besar-besaran di ibu kota Bandar Seri Begawan.

Kira-kira 80,000 orang dijangka membanjiri ibu kota negara itu bagi memberi penghormatan kepada Sultan Brunei dan isterinya.

Kumpulan pancaragam dan anggota angkatan tentera juga akan turut serta dalam perarakan itu.

Para pemimpin Asia Tenggara dan kerabat diraja dari Timur Tengah juga akan menghadiri bankuet di Brunei esok bagi meraikan jubli tersebut.

Ini termasuk Presiden Indonesia Joko Widodo, Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi dan Presiden Filipina Rodrigo Duterte, menurut pihak penganjur.

Brunei, dengan jumlah penduduk sekitar 400,000 sudah ditadbir oleh keluarga diraja yang sama selama 600 tahun. 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan