Images
  • rumah banjir
    (Gambar: BERNAMA)

Sudah tinggikan tiang rumah tetap juga kena air bah, keluh penduduk

SETIU: "Ingatkan dah habis RM30,000 (S$9,820) tinggikan tiang rumah tak perlu pindah, rupa-rupanya kena pindah juga sebab air tetap masuk ke dalam rumah," kata seorang penduduk Kampung Nyatoh, Setiu, Terengganu, yang rumahnya dinaiki air akibat banjir.

Cik Mariam Sulong, 63 tahun, berkata hampir setiap tahun rumahnya yang terletak berhampiran Sungai Setiu akan dinaiki air bah sehingga melebihi paras pinggang.

Disebabkan masalah tersebut, beliau serta beberapa penduduk kampung mengambil inisiatif mengeluarkan wang berpuluhan ribu ringgit bagi mengupah tukang rumah untuk meninggikan tiang rumah sebanyak 2.13 meter demi mengelak masalah sama daripada berulang.

"Dulu-dulu kawasan ini memang biasa dinaiki air tetapi tidaklah sampai melimpah masuk ke dalam rumah.

"Bagaimanapun selepas banjir besar pada 2013, keadaan banjir yang berulang setiap tahun semakin teruk menyebabkan saya perlu bersiap sedia dan memindahkan barang-barang rumah lebih awal bagi mengelak kerosakan," ujar Cik Mariam ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Surau Kampung Nyatoh pada Ahad (1 Dis).

Seorang lagi penduduk, Encik Abdul Rahim Mahmud, 67 tahun, berkata beliau sudah membelanjakan wang simpanan sebanyak RM50,000 (S$16,400) bagi meninggikan tiang rumahnya sebanyak 2.74 meter (sembilan kaki).

Menurut Encik Abdul Rahim, beliau serta penduduk tiada cara lain sambil mendakwa pembinaan jalan raya baru di sekitar Kampung Nyatoh menyebabkan kawasan petempatannya menjadi semakin rendah sekali gus mudah terdedah kepada banjir apabila hujan lebat turun dan air sungai melimpah.

"Hujan lebat sejak semalam menyebabkan rumah saya dan sembilan keluarga lain di sini dimasuki air sampai ke paras pinggang. Itu belum lagi berlaku limpahan air sungai. Nampaknya memang setiap tahunlah kena pindah. Kalau nak tinggikan lagi tiang memang kami orang kampung dah tidak ada duit.

"Ini kerana upahnya agak mahal iaitu RM1,000 (S$327) sekaki (0.3 meter). Jadi bayangkan berapa banyak yang kami kena belanja kerana rumah kampung biasanya memang banyak tiang," ujar beliau. 

- BERNAMA/FZ/fz

Top