Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sudah ditemui: Motosikal suspek yang bunuh saintis Palestin, Dr Fadi

Polis mengesahkan penemuan sebuah motosikal yang dipercayai digunakan suspek dalam kes bunuh Dr Fadi Mohammed Al Batsh, berhampiran Tasik Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur, petang semalam.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 25 Apr 2018 12:28AM Dikemas Kini : 25 Apr 2018 10:02PM

SHAH ALAM: Polis mengesahkan penemuan sebuah motosikal yang dipercayai digunakan suspek dalam kes bunuh Dr Fadi Mohammed Al Batsh, berhampiran Tasik Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur, petang semalam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun semalam (25 Apr) berkata motosikal itu ditemui dalam keadaan baik dan siasatan sedang dijalankan ke atas motosikal berkenaan.

"Ya, polis memang ada temui motosikal itu yang disyaki digunakan suspek ketika melakukan pembunuhan itu.

"Namun, saya tidak boleh mendedahkan butirannya kerana ia masih dalam siasatan," kata Tan Sri Mohamad Fuzi.

Difahamkan, motosikal yang ditinggalkan berhampiran tasik itu ditemui oleh orang awam yang kemudian membuat aduan polis pada sekitar jam 1.00 tengah hari semalam (24 Apr).

Mengulas lanjut, Tan Sri Mohamad Fuzi berkata selain motosikal, polis turut memperoleh beberapa petunjuk terbaru berhubung kes itu berikutan ada beberapa individu tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

“Ada individu beri maklumat tetapi kita tidak boleh dedahkan dan saya juga tidak dapat sahkan sama ada suspek masih ada dalam negara atau tidak sebab kita tiada butiran lengkap mengenai identiti suspek kecuali lakaran fotofit yang sudah diedarkan kepada pihak berkaitan untuk bantu kami mengesan mereka,” katanya.

Sabtu lalu (21 Mac), Fadi, seorang pensyarah kejuruteraan elektrik dengan sebuah institusi pengajian tinggi swasta, ditembak mati di luar kondominium Idaman Puteri di Setapak, semasa berjalan menuju ke Surau Medan Idaman untuk mengimami solat Subuh pada sekitar jam 6.00 pagi.

Dua lelaki bermotosikal dikatakan menunggu mangsa kira-kira 20 minit sebelum melepaskan 10 das tembakan ke arah mangsa berusia 35 tahun itu.

Sementara itu, Ketua Polis Negara itu berkata polis akan memberi tumpuan kawalan keselamatan kepada Selangor dalam PRU14 berikutan negeri itu mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

“Selain itu saiz negeri Selangor juga agak besar berbanding negeri lain dan kita tidak fokus pada satu-satu kawasan sahaja sebab bagi saya semua kawasan penting.

“Polis akan menjalankan tugas secara profesional tanpa memihak pada mana-mana parti dan kita berharap orang ramai juga boleh beri kerjasama yang baik kepada polis sepanjang proses pilihan raya berlangsung,” katanya. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan