Images
  • pinault
    Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kering, Francois-Henri Pinault. (Gambar: REUTERS)

Suami pelakon Hollywood Salma Hayek derma 100 juta euro bina semula Notre-Dame

PARIS: Hartawan Perancis Francois-Henri Pinault akan mendermakan 100 juta euro (lebih S$153 juta) bagi pembinaan semula Gereja Notre-Dame di Paris yang terjejas dengan teruk setelah dijilat api pada Selasa (16 Apr).

Dalam kenyataannya kepada AFP, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kering - sebuah kumpulan jenama mewah berpangkalan di Perancis yang memiliki gedung-gedung fesyen Gucci serta Yves Saint Laurent - berkata dana yang disalurkan ke arah "usaha yang diperlukan untuk membina semula Notre-Dame sepenuhnya" akan dibiayai oleh syarikat pelaburan keluarganya, Artemis.

Tragedi itu mendorong pengumpulan dana di Amerika Syarikat sedang orang ramai yang terkejut dengan kebakaran besar itu mengikrarkan komitment untuk memulihkan semula mercu tanda antarabangsa itu. Inisatif tersebut diusulkan meskipun kebakaran belum lagi dipadamkan ketika itu.

Persatuan Warisan Perancis, yang berpangkalan di New York, dan wadah pengumpulan dana masyarakat, Go Fund Me adalah antara yang pertama untuk menawarkan bantuan kepada Notre-Dame.

Awal dari itu, Presiden Perancis Emmanuel Macron mengumumkan satu pengumpulan dana antarabangsa pada Rabu (17 Apr) bagi membina semula Gereja Notre Dame.

"Kami akan membina semula Notre Dame kerana ia adalah apa yang diharapkan oleh rakyat Perancis," kata Encik Macron.

- AFP/FZ/fz

Top