Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Suami isteri ditahan disyaki curi susu untuk dijual semula

Sepasang suami isteri ditahan selepas dipercayai mencuri pelbagai barangan termasuk tin-tin susu di sebuah pasar raya dekat Southkey, Johor Bahru, pada Ahad (8 Sep) sebelah malam.

Anggaran Waktu Membaca:
Suami isteri ditahan disyaki curi susu untuk dijual semula

(Gambar hiasan: Unsplash)

Diterbitkan : 09 Sep 2019 06:07PM Dikemas Kini : 09 Sep 2019 06:15PM

JOHOR BAHRU: Sepasang suami isteri ditahan selepas dipercayai mencuri pelbagai barangan termasuk tin-tin susu di sebuah pasar raya dekat Southkey, Johor Bahru, pada Ahad (8 Sep) sebelah malam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Shahurinain Jais berkata lelaki berumur 53 tahun dan wanita berumur 49 tahun dari Senai, Kulai, itu didapati mencuri beberapa barangan termasuk 10 tin susu jenama Ensure 850 gram, empat tin susu Glucerna 850 gram, satu tin susu Enercal Plus 900 gram, dua tin Appeton Wellness 60+ 900 gram, dua kotak Pati Ayam Brands (Original) 30x70 gram serta lima kotak Pati Ayam Brands (Cordyceps) 12x70 gram.

Shahurinain berkata kejadian pada 7.40 malam itu disedari seorang pengawal keselamatan pasar raya berkenaan yang sedang melakukan rondaan di tempat letak kereta apabila ternampak seorang lelaki dalam keadaan tergesa-gesa menolak kereta sorong bayi menuju ke kereta di tempat letak kenderaan pasar raya tersebut.

"Pengawal keselamatan itu kemudian bertindak menahan lelaki terbabit dan terus memintanya mengemukakan resit bayaran, namun, lelaki itu gagal mengemukakannya. Hasil pemeriksaan di dalam but sebuah kereta jenis Proton Perdana kemudian mendapati pelbagai barang yang dipercayai dicuri itu," ujarnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Shahurinain, pasangan itu cuba melarikan diri tetapi si suami berjaya ditahan di kawasan tempat letak kereta manakala isterinya pula ditangkap di laluan keluar tangga bergerak pasar raya berkenaa.

Beliau menambah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) jelas menunjukkan perbuatan kedua-duanya mencuri kesemua barang berkenaan.

"Rakaman menunjukkan si suami berpura-pura menolak kereta sorong bayi manakala si isteri bersedia di dalam kedai dan mengalihkan kedudukan barang yang dicuri ke ruang tempat tiada kakitangan.

"Si isteri kemudiannya memasukkan barang ke dalam kereta sorong bayi yang ditolak si suami. Selepas itu, suami tersebut keluar dari kedai dan meletakkan barang dicuri di dalam kereta sementara si isteri berpura-pura seperti tidak mahu membeli barang lalu keluar dari kedai," terang Shahurinain.

Beliau berkata kesemua barangan yang dicuri, termasuk sebuah kereta sorong bayi berwarna hitam yang digunakan bagi tujuan mencuri itu, kini dirampas untuk siasatan lanjut.

Hasil soal siasat, kedua-dua suspek mengaku mencuri kesemua barang tersebut. Pasangan berkenaan juga mengakui perbuatan itu merupakan kali kedua dengan memberi alasan bahawa mereka tidak bekerja dan barangan yang dicuri tersebut akan dijual semula bagi mendapatkan wang.

Siasatan mendapati lelaki terlibat mempunyai rekod berkaitan curi pada tahun 2011 dan 2013 manakala isterinya tiada rekod jenayah. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan