Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Starbucks jadi sasaran terbaru penunjuk perasaan Hong Kong

Jenama Starbucks menjadi sasaran terkini bantahan pro-demokrasi di Hong Kong selepas seorang anggota keluarga yang memiliki francais restoran itu menyelar para penunjuk perasaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Starbucks jadi sasaran terbaru penunjuk perasaan Hong Kong

Jenama Starbucks menjadi sasaran terkini bantahan pro-demokrasi di Hong Kong. (Gambar; Jerome Taylor/AFP)

Diterbitkan : 30 Sep 2019 06:55PM Dikemas Kini : 30 Sep 2019 06:58PM

HONG KONG: Jenama Starbucks menjadi sasaran terkini bantahan pro-demokrasi di Hong Kong selepas seorang anggota keluarga yang memiliki francais restoran itu menyelar para penunjuk perasaan.

Beberapa cawangan Starbucks dicemari dengan grafiti hujung minggu lalu ketika bandar itu berhadapan dengan beberapa pertempuran paling sengit antara penunjuk perasaan tegar dengan polis pencegah rusuhan sejak beberapa minggu ini.

Sebuah kafe di daerah Wanchai diconteng dengan slogan ‘boikot’ selain kata-kata penghinaan terhadap pihak polis dan Maxim’s Caterers, iaitu rangkaian restoran besar Hong Kong yang mengendalikan cawangan Starbucks di bandar itu.

Perbuatan merosakkan harta benda itu menunjukkan tekanan besar ke atas jenama antarabangsa ketika Hong Kong digegarkan dengan pergolakan politik terburuk dalam masa beberapa dekad.

Beijing semakin menambah tekanan ke atas perniagaan untuk mengecam bantahan itu secara terbuka.

Mereka yang berbuat demikian berhadapan tindak balas penunjuk perasaan, tetapi berdiam diri akan membawa risiko menghadapi hukuman kewangan di tanah besar, pasaran jauh lebih mewah.

Kempen boikot terhadap Maxim’s memuncak selepas Cik Annie Wu, anak perempuan kepada pengasas Maxim’s yang kaya-raya, menyampaikan ucapan awal bulan ini yang mengecam bantahan dan berkata bahawa pendirian tegas Beijing terhadap para aktivis demokrasi perlu disokong.

Para penunjuk perasaan menganggap komen tersebut sebagai contoh bagaimana golongan elit yang kaya di Hong Kong tidak peka dengan sentimen orang awam dan berada dalam cengkaman Beijing.

Aktivis demokrasi terkenal, Encik Joshua Wong, antara mereka yang menggesa Starbucks dipulaukan sejak Cik Wu mengeluarkan ucapan tersebut dan lebih 50,000 menandatangani petisyen meminta syarikat di Seattle itu memutuskan hubungan dengan Maxim’s.

Sumber : AFP/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan