Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

SPRM siasat kes jual MyKad kepada warga China

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan terhadap kes pembongkaran aktiviti penjualan MyKad kepada warga China di Pulau Pinang baru-baru ini, sekiranya mendapat maklumat yang jelas mengenai kes berkenaan.

Anggaran Waktu Membaca:
SPRM siasat kes jual MyKad kepada warga China

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Beebi Koya. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 12 Sep 2019 09:34AM Dikemas Kini : 12 Sep 2019 09:37AM

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan terhadap kes pembongkaran aktiviti penjualan MyKad kepada warga China di Pulau Pinang baru-baru ini, sekiranya mendapat maklumat yang jelas mengenai kes berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Beebi Koya, berkata setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang aduan atau laporan rasmi berhubung perkara itu.

"Kami belum terima apa-apa aduan secara rasmi... jadi kami sedang memerhatikannya, jika benar ada sindiket itu kita akan mulakan siasatan sebab kes berkenaan penjualan kad pengenalan atau kes pengeluaran kad pengenalan palsu bukan satu perkara yang baru.

"Buat masa ini, kita belum menerima maklumat secara terus dan kita hanya mendapat maklumat itu melalui laporan berita sahaja," katanya.

Cik Latheefa berkata SPRM bagaimanapun tidak semestinya bergerak hanya atas maklumat rasmi.

"Jika kita dapat maklumat yang jelas (mengenai sesuatu kes), kita akan terus bergerak tanpa aduan... tetapi cuma kini kita belum ada apa-apa maklumat jelas mengenai kes itu," katanya.

Dalam operasi khas yang dijalankan pada minggu lalu, beberapa kakitangan dan pegawai sebuah jabatan kerajaan di Pulau Pinang, termasuk di Putrajaya, ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana dipercayai terlibat dengan kes berkenaan.

Menurut laporan agensi berita Bernama, seorang penolong pengarah di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang akan didakwa di Mahkamah Sesyen pada Khamis (12 Sep) berhubung dakwaan terbabit dalam sindiket menjual MyKad kepada warga asing di negeri itu.

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan