Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

SPRM berusaha dapat semula aset di luar negara yang dibeli dengan dana 1MDB

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang berusaha membawa pulang kesemua aset di luar negara yang dipercayai dibeli menggunakan dana 1MDB yang diseleweng.

Anggaran Waktu Membaca:
SPRM berusaha dapat semula aset di luar negara yang dibeli dengan dana 1MDB

(Gambar: Manan Vatsyayana/AFP)

Diterbitkan : 22 Sep 2018 04:41PM Dikemas Kini : 22 Sep 2018 04:44PM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang berusaha membawa pulang kesemua aset di luar negara yang dipercayai dibeli menggunakan dana 1MDB yang diseleweng.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Encik Azam Baki berkata ia termasuk pesawat Bombardier 700 bernilai RM143 juta (S$47 juta) yang berada di Singapura, tiga lukisan bernilai lebih RM400 juta (S$132 juta) dan hartanah yang dibeli di beberapa negara.

"Satu pasukan khas sudah dihantar selepas Mutual Legal Assistance atau Bantuan Perundangan Bersama (MLA) dari negara-negara terbabit diperolehi melalui Jabatan Peguam Negara.

"Satu daripada hasrat objektif siasatan ini adalah untuk membawa balik aset berkaitan IMDB di luar negara dan sebab itu kita (SPRM) perlukan bantuan negara berkenaan seperti Switzerland, Singapura serta Amerika Syarikat dalam menyelesaikan siasatan ini.

"Sebagai contoh, kita sudah membawa pulang kapal layar mega Equinimity dengan bantuan Indonesia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada para wartawan selepas menjadi tetamu program SPRM 360 di Bernama Radio, hari ini (22 Sep).

Encik Azam menambah jika aset serta barangan berkenaan tidak boleh diperoleh atas faktor tertentu, SPRM berharap untuk mendapatkannya dalam bentuk wang tunai.

Pada 7 Ogos lepas, kapal mewah Equinimity bernilai RM1 bilion (S$330 juta) yang dibeli menggunakan dana 1MDB dibawa pulang dari perairan Indonesia.

Kapal itu disita atas permintaan pihak Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat kerana terbabit dengan siasatan rasuah 1MDB.

Mengulas mengenai sama ada saksi luar negara seperti selebriti antarabangsa Leornado DiCaprio akan dibawa ke sini untuk dirakamkan keterangan, Encik Azam berkata perkara itu tidak perlu kerana pegawai khas SPRM boleh mengumpul keterangan saksi di negara terlibat dengan kerjasama pihak berkuasa luar negara.

Ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low dilaporkan menggunakan dana 1MDB yang diseleweng untuk membeli karya seni yang dihadiahkan kepada DiCaprio.  

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan