Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

SPR nafi kertas undi tidak dicop

Hasil semakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia mendapati isu kertas undi tidak dicop yang berlaku di sebuah pusat mengundi tidak benar, sebagaimana yang tular di media sosial, kata Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

Anggaran Waktu Membaca:
SPR nafi kertas undi tidak dicop

Logo Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia. (Gambar: AFP/Mohd Rasfan)

Diterbitkan : 09 May 2018 05:07PM Dikemas Kini : 09 May 2018 05:10PM

PUTRAJAYA: Hasil semakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia mendapati isu kertas undi tidak dicop yang berlaku di sebuah pusat mengundi tidak benar, sebagaimana yang tular di media sosial, kata Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

Menurut beliau, sekiranya ada berlaku kesilapan ia adalah kes terpencil dan pengundi tidak perlu bimbang jika kertas undi berkenaan dikeluarkan secara sah.

"Jika Ketua Tempat Mengundi (KTM) berpuas hati bahawa kertas undi dikeluarkan secara sah dan ia hanya kesilapan petugas dalam salurannya, maka KTM berkenaan tidak boleh menolak mana-mana kertas undi apabila ia dikeluarkan secara sah,” katanya pada sidang media Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Menara SPR hari ini (9 Mei).

Beliau lalu menasihatkan pengundi tidak terpedaya dengan mesej tular yang kononnya SPR melakukan penipuan kerana proses itu disaksikan semua pihak berkepentingan termasuk ejen calon.

Tan Sri Mohd Hashim percaya mesej tular berkenaan hanya bertujuan untuk menimbulkan situasi panik dan curiga di kalangan pengundi terhadap SPR.

Pada sidang media yang sama, Pengerusi SPR turut meminta orang ramai membuat laporan polis sekiranya terdapat sebarang aduan mengenai kertas undi, bagi membolehkan SPR menjalankan siasatan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan wartawan mengenai rungutan pengundi terdapat titik hitam pada kertas undi. 

"Apa yang penting bagi SPR ialah mengenal pasti pengundi nak pangkah siapa. Bagaimanapun, SPR akan menyiasat isu itu berlaku di sekolah dan pusat pengundian mana," katanya.

Mengulas rakaman video seorang remaja ditangkap kerana mengedar kertas undi palsu di luar sebuah pusat mengundi di Port Dickson, Negeri Sembilan, beliau berkata jika perkara itu benar, laporan polis boleh dibuat. 

Sebanyak 8,253 pusat mengundi dibuka serentak di seluruh negara bermula 8.00 pagi hingga 5.00 petang, dengan 28,115 tempat mengundi atau saluran termasuk di bangunan sekolah, dewan serbaguna dan balai raya.

Seramai 14,449,200 orang daripada jumlah keseluruhan 14,940,624 layak sebagai pengundi biasa mengundi hari ini manakala selebihnya ialah pengundi pos dan pengundi awal.

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan