Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Speaker Parlimen tegur sikap AP M'sia ambil peluang berbahas bila tanya soalan

Sikap beberapa Ahli Parlimen Malaysia yang mengambil kesempatan untuk berbahas semasa bangun bagi bertanya soalan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini (25 Nov) ditegur Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun yang menyifatkan perkara itu tidak adil kepada Ahli Parlimen lain.

Anggaran Waktu Membaca:
Speaker Parlimen tegur sikap AP M'sia ambil peluang berbahas bila tanya soalan

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun menyifatkan perkara itu tidak adil kepada Ahli Parlimen lain. (Gambar: Sumber web)

KUALA LUMPUR: Sikap beberapa Ahli Parlimen Malaysia yang mengambil kesempatan untuk berbahas semasa bangun bagi bertanya soalan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini (25 Nov) ditegur Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun yang menyifatkan perkara itu tidak adil kepada Ahli Parlimen lain.

Beliau berkata mengikut konvensyen Dewan Rakyat Britain, setiap soalan hanya diberikan 30 saat manakala seminit untuk jawapan namun ada dalam kalangan Ahli Parlimen mengambil peluang mencecah sehingga dua hingga tiga minit ketika bertanya soalan.

“Saya dapati kita hari ini baru soalan nombor empat, sejam. Ini adalah satu perkara yang amat tidak memuaskan hati… saya dapati tadi dari pejabat saya ada Yang Berhormat semua bangun untuk berbahas. Ini tak ikut peraturan.

“Peraturan 24 (4) nyatakan dengan terang sesuatu pertanyaan itu tidak boleh dijadikan helah untuk berbahas. Ini bukan waktu berbahas. Ini waktu pertanyaan dan waktu menteri menjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika masuk untuk mempengerusikan mesyuarat pada sesi soal jawab semasa soalan keempat oleh Lim Lip Eng (PH-Kepong), ketika persidangan berlangsung lebih satu jam. Sesi soal jawab hari ini adalah dari pukul 10.30 pagi hingga pukul 12.00 tengah hari manakala setengah jam awal adalah Waktu Pertanyaan Menteri. 

Justeru, Azhar meminta Ahli Parlimen supaya menghentikan amalan berbahas ketika sesi soal jawab memandangkan asas di sebalik pertanyaan di Dewan Rakyat adalah memberikan sebanyak mungkin pertanyaan ditanya dan sebanyak mungkin dijawab.

“… bukan dibolot oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat yang mendapat soalannya top 10. Bukan, bukan begitu. Jadi, saya hendak pohon kerjasama semua, tak nak lah bahas, mukadimah tu sikit dan dijawab terus. Jangan mukadimah panjang.

“Saya dapati sebelum ini yang mukadimahnya seminit setengah, soalannya 10 saat. Tidak elok macam itu sebab ia mengambil masa Yang Berhormat lain untuk menanyakan soalan.

“Sebenarnya tidak adil untuk semua. Saya tak apa, saya boleh bagi satu soalan satu jam pun okay. Tapi tidak adil untuk ahli Yang Berhormat sendiri,” katanya.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan