Images
  • mahathir wins
    PM Mahathir Mohamad raikan kemenangannya dalam PRU14 bersama para pemimpin Pakatan Harapan. (Gambar: Manan Vatsyayana/AFP)

Sokongan terhadap kerajaan masih utuh, bukan seperti didakwa 'segelintir pihak': Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) ketika ini masih lagi didukung dan dihargai rakyat, kata Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata sokongan rakyat kepada kerajaan masih kuat biarpun terdapat segelintir pihak yang mendakwa rakyat kurang berpihak kepada PH.

“Saya sedar ada pihak yang nyatakan bahawa sokongan rakyat kepada PH ini telah menurun dari 80 peratus kepada 38 peratus (tapi) tak tahu dari mana buat kajian ini.

“Tetapi yang saya tahu sendiri, banyak orang nak bersalam, ambil gambar… itu bukti sokongan masih ada,” jelas beliau semasa sidang media Temu Rapat bersama Ahli Parlimen PH dan Warisan di Kuala Lumpur pada Ahad (6 Okt).

Pengerusi PH itu bagaimanapun berkata sekiranya terdapat sesuatu kajian dan ia ditanya kepada sebilangan yang kecil, pendapat mereka diambil seolah-olah ia adalah pendapat semua pihak secara keseluruhan dan kerajaan berpendapat ia tidak benar.

Beliau berkata biarpun PH merupakan gabungan empat parti, namun ia dapat kekal sebagai satu kerajaan yang boleh membincangkan segala perkara dan mendapat keputusan yang diterima semua.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata program temu rapat tersebut diadakan bagi merapatkan hubungan antara pemimpin dengan wakil rakyat selain membincangkan persoalan mengenai dasar kerajaan yang kurang difahami oleh wakil rakyat.

“Pemimpin dapat jelaskan kepada wakil rakyat tentang dasar kerajaan dan lain. Sudah tentu antaranya ialah Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 kerana ini adalah satu dasar baharu yang perlu difahami oleh semua pihak. Rakyat juga ingin tahu dan wakil rakyat mesti boleh jelaskan mengenai wawasan baharu ini.

“Inilah kerajaan PH dan dengan adanya temu rapat ini, hubungan antara pemimpin dengan wakil rakyat khususnya sudah menjadi lebih baik dan di masa hadapan hubungan ini akan diteruskan,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata PH kini berjaya mencapai 60 peratus daripada manifestonya sebagaimana dijanjikan oleh gabungan itu semasa Pilihan Raya Umum ke-14.

- BERNAMA/FZ/fz

Top