Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sokongan tempat tinggal sementara bagi pekerja M'sia tidak akan dilanjutkan selepas 31 Mac

Sokongan penginapan sementara bagi pekerja warga Malaysia di sini tidak akan dilanjutkan menjangkaui 31 Mac, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Rabu (25 Mac) selepas Malaysia melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 14 April.

Anggaran Waktu Membaca:
Sokongan tempat tinggal sementara bagi pekerja M'sia tidak akan dilanjutkan selepas 31 Mac

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 26 Mar 2020 01:23PM Dikemas Kini : 26 Mar 2020 01:32PM

SINGAPURA: Sokongan penginapan sementara bagi pekerja warga Malaysia di sini tidak akan dilanjutkan menjangkaui 31 Mac, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Rabu (25 Mac) selepas Malaysia melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 14 April.

Beribu-ribu pemegang permit kerja dari Malaysia yang biasanya menyeberangi Koswe setiap hari, ditempatkan di Singapura buat sementara waktu selepas Malaysia menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac. Pada awalnya, perintah itu dikuatkuasakan untuk tempoh dua minggu sehingga 31 Mac.

"Demi kemampanan jangka panjang masing-masing dan atas sebab-sebab kesinambungan perniagaan, para majikan perlu membuat keputusan mengenai cara terbaik untuk menempatkan pekerja-pekerja terjejas di Singapura dan berkongsi kos tambahan bersama pekerja mereka," menurut MOM.

Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin mengumumkan pada Rabu (25 Mac) bahawa negara itu akan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 14 April sebagai respons terhadap jumlah kes jangkitan COVID-19 yang terus meningkat di negara itu.

Setakat sehingga tengah hari Rabu (25 Mac), Malaysia sudah mengesahkan 1,796 kes jangkitan COVID-19. Sebanyak 20 kematian dilaporkan akibat jangkitan virus berkenaan.

Pengumuman pertama mengenai Perintah Kawalan Pergerakan pada 16 Mac menyebabkan beribu-ribu warga Malaysia yang bekerja di sini beratur panjang untuk memasuki Singapura melalui pusat-pusat pemeriksaan darat sebelum sempadan negara itu ditutup pada 18 Mac.

Sepanjang minggu lalu, MOM bersama dengan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan Lembaga Pelancongan Singapura (STB) sudah membantu sekitar 2,000 syarikat perusahaan menyediakan penginapan bagi 10,000 pekerja yang terjejas.

Juga sebelum ini, Pemerintah Singapura mengumumkan akan membantu para majikan mencari penginapan bagi pekerja Malaysia, dengan memberikan S$50 setiap hari kepada setiap pekerja Malaysia, yang dihadkan untuk tempoh selama 14 hari.

Sejak itu, MOM terus mendampingi para majikan untuk memastikan pekerja mereka yang terjejas ditempatkan di penginapan sementara yang selamat dan sesuai.

MOM akan "melaksanakan fasa baru", menurut kementerian itu, untuk bekerjasama dengan para majikan bagi memudahkan pemindahan pekerja yang terjejas ke tempat tinggal yang lebih mampan di Singapura.

Para majikan yang memerlukan pilihan penginapan yang lebih mampan boleh merujuk kepada laman web MOM atau menghubungi MOM menerusi emel.

Dalam satu kenyataan yang berasingan, MOM juga menasihati para pekerja asing dan pembantu rumah asing supaya duduk di tempat penginapan mereka pada hari-hari cuti mereka dan mengelakkan perhimpunan besar.

"Jika (para pekerja) perlu melakukan sesuatu yang penting, mereka dinasihati supaya mengurangkan masa di luar penginapan mereka," menurut MOM.

Para majikan harus mendidik para pekerja mereka tentang makluman supaya mereka duduk di rumah dan mengambil tahu tentang pergerakan pekerja mereka, sama ada mereka sudah pulang atau selesai dengan urusan mereka di luar.

MOM menambah bahawa para pekerja harus bertemu di tempat tertutup dan mematuhi peraturan terkini mengenai had yang ditetapkan bagi sesebuah perhimpunan yang kini menghadkan perhimpunan di luar tempat kerja dan sekolah kepada 10 orang atau lebih rendah daripada itu.

Kementerian itu menyatakan: "Para pekerja harus mengelakkan perhimpunan di tempat-tempat awam atau mengunjungi tempat-tempat sesak termasuk Little India, Lucky Plaza, City Plaza, Peninsula Plaza. Memandangkan perhimpunan di tempat terbuka dalam kalangan pekerja pembantu rumah asing lazimnya agak besar, MOM akan mengambil tindakan untuk menyuraikan mereka sebagai langkah pencegahan tambahan.

Langkah-langkah tersebut termasuk menjalankan lebih banyak pemeriksaan dan para pekerja yang tidak memberikan kerjasama akan dibatalkan pas kerja mereka. 

Sumber : CNA/AY/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan