Images
  • boeing
    Sebuah pesawat Boeing 737 MAX 8. (Gambar fail: Reuters/Matt Mills)

Sofwe pesawat 737 MAX sudah selesai dikemas kini

NEW YORK: Boeing menyatakan pada Khamis (16 Mei) bahawa ia sudah selesai mengemas kini sofwe pesawat Boeing 737 MAX menyusuli dua nahas maut yang mengakibatkan pesawat itu digantung di merata dunia.

Pembaikan yang disarankan itu, yang menangani masalah sistem pengemudian pesawat dikenal pasti sebagai punca kedua-dua pesawat sama terhempas, kini perlu mendapat kelulusan pertubuhan-pertubuhan kawal selia Amerika Syarikat dan antarabangsa sebelum pesawat Boeing 737 MAX dibenarkan untuk kembali beroperasi.

"Dengan keselamatan sebagai keutamaan, kami sudah menamatkan kesemua penerbangan ujian kejuruteraan bagi kemas kini sofwe itu dan kami sedang membuat persediaan bagi pentauliahan terakhir," kata Ketua Eksekutif Dennis Muilenburg dalam kenyataannya.

Menyusuli pengumuman itu, nilai saham Boeing meningkat 2.6 peratus kepada AS$354.44 (S$486.56) semasa sesi dagang sebelah petang. Penggantungan pesawat 737 MAX menjejas pendapatan Boeing dan ramalan pendapatan masa hadapan.

Boeing menyatakan ia menerbangkan pesawat 737 MAX dengan sofwe pengemudian pesawat MCAS yang dikemas kini selama lebih 360 jam melalui 207 penerbangan.

Boeing sedang menyediakan maklumat tambahan kepada Jabatan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) sedang syarikat itu bersiap sedia untuk melakukan penerbangan ujian pentauliahan, iaitu satu langkah penting dalam proses meluluskan pesawat itu, menurut Boeing.

FAA mengadakan mesyuarat dengan para pengawal selia penerbangan awam antarabangsa pada 23 Mei di Texas untuk membincangkan proses kelulusan FAA bagi pesawat 737 MAX.

Pemangku Pentadbir FAA Daniel Elwell memberitahu sebuah panel Kongres pada Rabu bahawa beliau berharap perhimpunan itu dapat mengembalikan keyakinan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa untuk meluluskan pesawat 737 MAX sejurus selepas Amerika Syarikat memberi lampu hijau.

- AFP/ZM/zm

Top