Images
  • snapchat
    Logo Snapchat. (Gambar: AFP/LIONEL BONAVENTURE)

Snapchat padam akaun Trump susuli rusuhan Capitol

SAN FRANCISCO: Rangkaian media sosial Snapchat sudah mengharamkan Presiden Donald Trump daripada platform itu.

Ini sedang banyak pihak semakin lantang bersuara meminta presiden Amerika Syarikat itu disekat daripada internet.

Akses Encik Trump kepada lelaman media sosial sebahagian besarnya sudah disekat sejak para penyokongnya merusuh dan memecah masuk bangunan Capitol di Washington DC pada 6 Januari.

Pengendali platform itu bimbang jika Encik Trump menggunakan akaun Snapchat beliau untuk mencetuskan lebih banyak rusuhan menjelang upacara angkat sumpah jawatan bakal presiden Amerika Joe Biden.

"Minggu lalu, kami mengumumkan bahawa akaun Snapchat Presiden Trump akan digantung selama-lamanya," menurut Snapchat dalam responsnya kepada pertanyaan AFP.

"Demi keselamatan orang awam dan berdasarkan percubaannya untuk menyebarkan maklumat palsu, kata-kata berbaur kebencian dan mencetuskan keganasan, yang jelas melanggar garis panduan kami, kami membuat keputusan untuk memadamkan akaun beliau."

Selepas insiden serangan di Capitol oleh para penyokong Encik Trump, lelaman media sosial termasuk Facebook, Twitter dan YouTube mula menyekat beliau daripada menggunakan platform-platform tersebut.

Google dan Apple memadamkan aplikasi Parler daripada app store masing-masing, sambil menyatakan bahawa rangkaian sosial berhaluan kanan itu membolehkan pengguna menggalak keganasan.

Khidmat-khidmat Amazon Web juga kemudian memadamkan Parler daripada pangkalan datanya.

- AFP/NK/nk

Top