Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Skandal 1MDB: Polis fail pertuduhan jenayah terhadap 5 individu termasuk Jho Low

Polis Malaysia memfailkan pertuduhan jenayah terhadap lima individu termasuk ahli perniagaan Low Taek Jho, atau dikenali sebagai Jho Low, berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Demikian menurut Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun.

Anggaran Waktu Membaca:
Skandal 1MDB: Polis fail pertuduhan jenayah terhadap 5 individu termasuk Jho Low

Gambar fail Jho Low. (Gambar: AP)

Diterbitkan : 05 Dec 2018 01:21PM Dikemas Kini : 05 Dec 2018 01:24PM

KUALA LUMPUR: Polis Malaysia memfailkan pertuduhan jenayah terhadap lima individu termasuk ahli perniagaan Low Taek Jho, atau dikenali sebagai Jho Low, berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Demikian menurut Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun.

“Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman telah menjalankan siasatan terhadap 1MDB atas pelbagai kesalahan jenayah melibatkan transaksi kewangan serta urus niaga yang dijalankan oleh syarikat 1MDB, yang dikemukakan dan ditaklimatkan kepada Peguam Negara pada 3 Disember.

“Setelah meneliti keterangan kes, Peguam Negara membuat keputusan agar pihak polis memfailkan pertuduhan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Jenayah Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) itu di Mahkamah Sesyen Jenayah, Jalan Duta di sini semalam (4 Dis),” katanya dalam satu kenyataan hari ini (5 Dis).

Lima individu yang terlibat dalam pertuduhan 1MDB adalah ahli perniagaan Jho Low, Tan Kim Loong @ Eric, Pengarah Pembangunan Perniagaan 1MDB Tang Keng Chee @ Casey, Peguam Am 1MDB Loo Ai Swan @ Jasmine dan Pengarah Eksekutif Kewangan 1MDB Geh Choh Heng @ Terence.

Encik Mohamad Fuzi berkata jumlah pertuduhan yang dihadapi kelima-lima individu adalah 13 pertuduhan yang melibatkan kerugian wang berjumlah AS$1.17 bilion (S$1.6 bilion).

WARAN TANGKAP BAGI LIMA INDIVIDU YANG LARIKAN DIRI

Menurut Encik Mohamad Fuzi, waran tangkap sudah diperoleh daripada pihak mahkamah dan usaha sedang digiatkan untuk mengesan dan menahan kelima-lima mereka yang melarikan diri ke luar negara.

“Polis akan mendapatkan kerjasama daripada pihak berkuasa luar negara dan juga Interpol dalam membantu mengesan mereka.

“Jika mereka dikenal pasti berada di mana-mana negara lain, polis melalui Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan untuk memohon ekstradisi bagi membolehkan mereka dibawa balik ke Malaysia untuk menghadapi pertuduhan di mahkamah,” katanya.

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan