Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sisa spesis dinosaur 'sangat jarang ditemui' terbongkar di Brazil

Sisa-sisa spesis dinosaur berkaki dua yang tidak bertaring yang hidup sekitar 70 juta tahun lalu ditemui di Brazil, kata para penyelidik pada Khamis (18 Nov), yang menyebutnya sebagai penemuan "sangat jarang" berlaku.

Anggaran Waktu Membaca:
Sisa spesis dinosaur 'sangat jarang ditemui' terbongkar di Brazil

(Gambar: Muzium Nasional Rio de Janeiro/AFP)

Diterbitkan : 19 Nov 2021 09:52AM Dikemas Kini : 19 Nov 2021 09:56AM

RIO DE JANEIRO: Sisa-sisa spesis dinosaur berkaki dua yang tidak bertaring yang hidup sekitar 70 juta tahun lalu ditemui di Brazil, kata para penyelidik pada Khamis (18 Nov), yang menyebutnya sebagai penemuan "sangat jarang" berlaku.

Dinosaur kecil itu, yang panjangnya kira-kira satu meter dan tingginya 80 sentimeter, adalah seekor theropod, iaitu kumpulan dinosaur yang hampir kesemuanya dipercayai adalah karnivor.

Namun yang membingungkan, spesis baru itu - dipanggil Berthasaura leopoldinae - mempunyai muncung seperti paruh tanpa gigi.

"Itu amat mengejutkan," kata pakar paleontologi yang membuat penemuan itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Muzium Negara Brazil.

Mereka menerbitkan penemuan mereka dalam jurnal Nature, menyifatkan penemuan itu "salah satu dinosaur paling lengkap ditemui dari zaman Cretaceous di Brazil."

"Bahagian tanpa gigi menimbulkan keraguan tentang jenis diet haiwan ini, " kata penyelidik Geovane Alves Souza, salah seorang pengarang kajian.

"Namun ini tidak semestinya bermakna ia tidak makan daging. Banyak burung, seperti burung helang dan buzzard, makan daging dengan paruh. Kemungkinan besar, ia adalah omnivor yang hidup dalam sekitaran yang tidak begitu selamat di mana ia perlu makan apa sahaja yang boleh."

Rangka fosil itu ditemui di jalan raya luar bandar di negeri selatan Parana antara 2011 dengan 2014.

Analisis mendedahkan ia adalah spesis baru yang hidup antara 70 juta dengan 80 juta tahun dahulu.

Spesis itu dinamakan sempena Bertha Lutz, seorang saintis dan penyokong gerakan kewanitaan Brazil yang dihormati yang meninggal dunia pada 1976, dan sempena Maria Leopoldina, permaisuri Brazil abad ke-19, yang merupakan penaung sains.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan