Images
  • kim kim
    Sisa kimia dipercayai dibuang di Sungai Kim Kim dekat Pasir Gudang. (Gambar: Bernama)

Sisa kimia Sungai Kim Kim: Pencemaran bahan kimia tidak bawa kesan kronik jangka panjang - Menteri Kesihatan M'sia

JOHOR BAHRU: Kesan pencemaran sisa bahan kimia dari Sungai Kim Kim kepada mangsa adalah berbentuk “one off acute exposure” dan tidak membawa kesan kronik jangka panjang kepada kesihatan, kata Menteri Kesihatan Malaysia Dr Dzukefly Ahmad.

Beliau berkata tahap toksik yang ada pada bahan kimia itu adalah bersifat rendah dan tidak menyebabkan kematian kepada mereka yang terdedah.

“Ini adalah "acute toxicity" dan ia bukannya sesuatu yang bersifat kronik dan mempunyai pendedahan yang lama serta berterusan sehingga boleh mencetuskan barah,” katanya pada sidang media selepas melawat Medic Base di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang, hari ini (16 Mac).

Beliau mengulas kekhuatiran mangsa-mangsa mengenai kesan jangka panjang pencemaran sisa kimia dari Sungai Kim Kim terhadap kesihatan mereka.

Dr Dzukefly berkata sebagai inisiatif untuk memantau tahap kesihatan kesemua mangsa, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melakukan kajian berdasarkan sistem data pesakit yang dikumpulkan.

Ketika ditanya mengenai bekalan ubat-ubatan yang disediakan di Medic Base Stadium Tertutup Pasir Gudang itu, Dr Dzulkefly berkata ia mencukupi setakat ini.

- BERNAMA/NA/na

Top