Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sisa kimia: Jumlah pesakit dirawat meningkat kepada 35

Dua sekolah ditutup manakala 35 orang, kebanyakannya pelajar sekolah dirawat di hospital dan klinik akibat terhidu gas kimia ekoran pembuangan sisa kimia di Sungai KimKim dekat Pasir Gudang, awal pagi Khamis (7 Mac). 

Anggaran Waktu Membaca:
Sisa kimia: Jumlah pesakit dirawat meningkat kepada 35

Kebanyakan daripada 35 orang yang dirawat itu terdiri daripada pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Pasir Putih dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Putih. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 08 Mar 2019 09:15AM Dikemas Kini : 08 Mar 2019 09:20AM

JOHOR BAHRU: Dua sekolah ditutup manakala 35 orang, kebanyakannya pelajar sekolah dirawat di hospital dan klinik akibat terhidu gas kimia ekoran pembuangan sisa kimia di Sungai KimKim dekat Pasir Gudang, awal pagi Khamis (7 Mac). 

Selain penduduk di Taman Pasir Putih yang terjejas teruk, penduduk di Kampung Bukit Pulai dan Ladang Tong Heng Lama yang tinggal berhampiran sungai diminta peka dengan perubahan kesihatan masing-masing kerana terdapat kemungkinanan mereka turut terdedah dengan pencemaran itu.

“Bahan kimia ini sentiasa bergerak dalam air, jadi terdapat kemungkinan mereka turut terdedah. Sekiranya mengalami simptom seperti sesak nafas, batuk dan mata merah, segeralah mendapatkan rawatan di klinik berdekatan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri Dr Sahruddin Jamal.

Penduduk Kampung Pinggiran Acheh pula dinasihat tidak menjalankan aktiviti perikanan buat sementara waktu.

Kejadian pencemaran yang dilapor pada jam 5.15 pagi itu dikatakan berpunca daripada sebuah lori tangki yang membuang sisa kimia ke dalam Sungai Kimkim awal pagi Rabu (6 Mac).

Jabatan Bomba dan Penyelamat mengenalpasti kawasan sekitar 500 meter daripada sungai itu yang tercemar ekoran pembuangan sisa kimia itu dan sudah meletakkan 'oil boom', peralatan khas untuk menyerap dan menyekat bahan kimia daripada terus mencemari sungai itu.

Dr Sahruddin berkata kebanyakan daripada 35 orang yang dirawat itu terdiri daripada murid Sekolah Kebangsaan Taman Pasir Putih dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Putih - dua sekolah yang diarah tutup sehingga laporan keselamatan dikeluarkan oleh bomba dan Jabatan Alam Sekitar.

“Seramai 21 orang dimasukkan ke wad di Hospital Sultan Ismail (HSI), termasuk tiga di Unit Rawatan Rapi (ICU), lima orang dirawat di unit kecemasan hospital itu manakala selebihnya mendapatkan rawatan pesakit luar dan dibenarkan pulang. 

“Kesemua mereka yang berusia antara tujuh dan 40 tahun itu dilaporkan stabil,” katanya.

Beliau berkata sampel pencemaran di sungai itu sudah diambil pihak bomba dan Jabatan Alam Sekitar negeri untuk dianalisis dan mereka yang bertanggungjawab boleh didakwa mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM500,000 (S$166,000) dan penjara tidak lebih lima tahun.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan