Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Singapura sudah suarakan kebimbangan mengenai ketegangan dagangan AS-China kepada kedua-dua negara

Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan berkata Singapura sudah menyuarakan kebimbangannya kepada Amerika Syarikat dan China mengenai ketegangan perdagangan yang semakin meningkat antara kedua-dua negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Singapura sudah suarakan kebimbangan mengenai ketegangan dagangan AS-China kepada kedua-dua negara

Dr Vivian Balakrishnan (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 05 Aug 2018 12:13AM Dikemas Kini : 05 Aug 2018 12:19AM

SINGAPURA: Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan berkata Singapura sudah menyuarakan kebimbangannya kepada Amerika Syarikat dan China mengenai ketegangan perdagangan yang semakin meningkat antara kedua-dua negara itu.

Bercakap di sidang media pada penutup siri pertemuan antara negara-negara anggota ASEAN dan kuasa luar pada hari Sabtu (4 Ogos), Dr Balakrishnan menjelaskan bahawa sebarang perang dagangan atau sekatan sepihak akan mempunyai "kesan yang tidak seimbang" di Singapura.

Menjawab pertanyaan para wartawan beliau berkata Singapura mempunyai hubungan baik dengan Amerika Syarikat dan China dan sudah melahirkan kedudukannya secara "sopan dan terus terang".

"Jelas sekali, kami tidak mengawal agenda keputusan mereka, namun kami sudah menyuarakan kebimbangan kami."

Kenyataan Dr Balakrishnan itu dibuat di tengah-tengah ketegangan perdagangan yang semakin meningkat antara Amerika dan China.
Pada awal bulan Julai, Amerika mengenakan tarif 25 peratus ke atas barangan China bernilai AS$34 bilion (S$46 bilion), mendorong tindak balas serupa dari China yang mengenakan tarif terhadap jumlah eksport Amerika.

Pada hari Jumaat (3 Ogos), China menyatakan ia bersedia untuk mengenakan tarif baru ke atas barang Amerika bernilai AS$60 bilion (S$81.97 bilion).

Dr Balakrishnan menjelaskan bahawa Singapura percaya pada sistem berbilang pihak, berasaskan peraturan. Menurutnya "dalam dunia yang ideal", semua orang menyelesaikan perbezaan perdagangan mereka melalui Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO), atau sekurang-kurangnya dalam cara yang mematuhi WTO.

"Ini sama sekali tidak sama dengan apa yang diinginkan AS atau China, tetapi Singapura menyatakan apa yang kami percaya, kerana kami mengatakan hal yang sama kepada kedua belah pihak, mereka tahu bahawa kami telus dan jujur," katanya.

Beliau menambah bahawa kedudukan ini "konsisten sepenuhnya" dengan ASEAN.

PERLU BAGI ASEAN UNTUK "KUKUHKAN" SISTEM PERDAGANGAN BERBILANG PIHAK

Semasa sidang media itu, Dr Balakrishnan menyatakan bahawa ASEAN mengakui ketegangan perdagangan yang semakin meningkat di seluruh dunia, dan menegaskan bahawa ASEAN perlu "mengukuhkan" sistem perdagangan berbilang pihak dan bekerjasama dengan rakan-rakan lain yang berkongsi amalan itu.

Maka itu, beliau mengalu-alukan perjanjian untuk menggandakan usaha bagi mencapai Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) menjelang akhir tahun ini. RCEP adalah perjanjian 16 negara yang bakal menjadi perjanjian perdagangan bebas terbesar di dunia. Ia akan mengumpulkan 10 negara anggota ASEAN bersama China, India, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

"MESYUARAT PALING MEMBINA SEJAUH INI"

Dr Balakrishnan menyifatkan pertemuan minggu ini sebagai "mesyuarat yang berjalan licin dan lancar serta membina, sejauh ini."

"Nadanya jauh lebih membina, jauh lebih positif pada tahun ini," katanya. "Tetapi pada masa yang sama, ia membenarkan semua isu dibincangkan dengan sangat terbuka." Beliau menambah bahawa mesyuarat berlangsung dalam suasana "selamat, membina dan selesa".

Ini, katanya, menggambarkan kepentingan ASEAN.

Beliau menambah bahawa semua negara kuasa besar diwakili, dan dapat menyatakan tuntutan mereka, kecemasan dan harapan "secara terus-terang" semasa sesi-sesi tertutup.

"Saya rasa mereka menghargai kedudukan kami," katanya. "Tiada siapa yang mengatakan mereka lebih suka mempunyai ASEAN yang tidak bersatu padu atau ASEAN yang berpecah belah menjadi blok-blok yang bersaing."

"Bagi Singapura, kerana kami sangat kecil, saya fikir peranan kami sebagai broker yang jujur ​​dihargai, dan membolehkan kami menjadi relevan di luar sempadan geografi kami."

Dr Balakrishnan juga mendedahkan bahawa perjanjian sudah dicapai untuk memuktamadkan rundingan mengenai Perjanjian Pengangkutan Udara menyeluruh ASEAN-Eropah pada akhir tahun ini. Rundingan bagi Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Eropah juga akan dirundingkan.

Kenyataan Pengerusi yang menggariskan perbincangan dan hasil pelbagai mesyuarat juga dikeluarkan pada hari Sabtu. 

Sumber : CNA/SU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan