Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Singapura akan anjur Forum Ekonomi Dunia pada Mei 2021; pertama kali di Asia

Forum Ekonomi Dunia (WEF) akan diadakan di Singapura dan bukan di Switzerland pada tahun depan kerana pandemik COVID-19 akan menyukarkan usaha memastikan kesihatan dan keselamatan para peserta di Eropah, kata presiden WEF Broge Brende dalam satu emel pada Isnin (7 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Singapura akan anjur Forum Ekonomi Dunia pada Mei 2021; pertama kali di Asia

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 08 Dec 2020 08:56AM Dikemas Kini : 08 Dec 2020 08:58AM

ZURICH (Switzerland): Forum Ekonomi Dunia (WEF) akan diadakan di Singapura dan bukan di Switzerland pada tahun depan kerana pandemik COVID-19 akan menyukarkan usaha memastikan kesihatan dan keselamatan para peserta di Eropah, kata presiden WEF Broge Brende dalam satu emel pada Isnin (7 Dis).

"Lembaga pengurusan membuat keputusan sangat penting hari ini untuk memindahkan Mesyuarat Tahunan Khas 2021 ke Singapura (13-16 Mei)," kata Encik Brende dalam emel yang diperolehi oleh Reuters.

"Kami jangka untuk menganjurkan Mesyuarat Tahunan 2021 di Lucerne-Burgenstock semasa musim bunga ini. Malangnya, situasi COVID-19 di Eropah tidak memungkinkan kami mewujudkan keadaan yang diperlukan untuk memastikan kesihatan dan keselamatan para kakitangan, peserta dan masyarakat lebih luas," kata Encik Brende.

"Singapura telah berjaya menangani pandemik ini," katanya.

Beliau berkata rakan-rakan WEF akan dimaklumkan pada Isnin dan satu kenyataan media akan dikeluarkan pada Selasa (8 Dis).

WEF menyatakan dalam satu kenyataan bahawa mesyuarat di Singapura merupakan acara kepimpinan global yang pertama bagi membincangkan pemulihan sejagat daripada pandemik.

"Sebuah sidang puncak kepimpinan global adalah penting bagi membincangkan bagaimana kita dapat pulih bersama," kata pengasas WEF Klaus Schwab.

"Mesyuarat Tahunan Khas 2021 adalah tempat bagi para pemimpin daripada golongan perniagaan, pemerintah dan sivil untuk bertemu muka buat kali pertama sejak permulaan pandemik global.

Mengesahkan keputusan tidak lama selepas laporan Reuters diterbitkan, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) Singapura menyatakan ini adalah kali kedua Mesyuarat Tahunan Khas WEF diadakan di luar Switzerland sejak penubuhannya pada 1971, dan ini adalah kali pertama ia akan diadakan di Asia.

Satu-satunya kali ia dianjurkan di luar Davos adalah pada 2002, apabila ia diadakan di New York dalam usaha menunjukkan perpaduan bersama Amerika Syarikat dan para penduduk bandar itu menyusuli serangan pengganas pada 11 September.

"Keputusan WEF untuk mengadakan Mesyuarat Tahunan Khas di Singapura mencerminkan keyakinan mereka dalam pengurusan COVID-19 kami sejauh ini," menurut MTI.

"Menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Tahunan Khas WEF akan mempunyai kesan positif ke atas sektor Mice (mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran) Singapura dan sektor-sektor berkaitan seperti hospitaliti."

MTI menyatakan Singapura berjaya membuat prototaip protokol-protokol baru di mesyuarat dan persidangan berskala besar seperti Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura 2020 dan TravelRevive 2020.

"Protokol-protokol ini termasuk langkah pengurusan selamat seperti ujian semasa ketibaan, ujian antigen berkala dan sebelum acara, serta penjejakan kontak para hadirin," menurut MTI.

"Kesemua persidangan antarabangsa yang diadakan di Singapura dengan cara yang sama akan mematuhi langkah kesihatan dan keselamatan awam yang ketat."

Menteri MTI Chan Chun Sing berkata bahawa keputusan WEF untuk mengadakan mesyuarat di Singapura adalah "pengesahan terhadap keupayaan Singapura menyediakan tempat yang selamat, neutral dan selesa" untuk para pemimpin global bertemu.

"Meskipun dengan pandemik yang sedang berlaku, kami yakin Singapura akan dapat terus mengekalkan kesihatan dan keselamatan awam sambil menyokong matlamat WEF untuk memperkenalkan perubahan positif menerusi kerjasama dan pelibatan," katanya.

Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan