Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sidang puncak pertama Kim-Putin: Moscow intai peranan lebih besar di Korea Utara

Rusia bercita-cita untuk mengembangkan pengaruhnya dalam satu lagi isu sensitif antarabangsa menerusi sidang pertama antara Presiden Vladimir Putin dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un bulan ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Sidang puncak pertama Kim-Putin: Moscow intai peranan lebih besar di Korea Utara

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 19 Apr 2019 05:50PM Dikemas Kini : 19 Apr 2019 05:53PM

MOSCOW: Rusia bercita-cita untuk mengembangkan pengaruhnya dalam satu lagi isu sensitif antarabangsa menerusi sidang pertama antara Presiden Vladimir Putin dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un bulan ini.

Keadaan di semenanjung Korea tampak semakin stabil menyusuli sidang puncak bersejarah antara Encik Kim dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump tahun lalu, yang mana kedua-dua pihak menyokong gagasan pelucutan senjata nuklear di pihak Pyongyang.

Namun sidang susulan di Vietnam gagal mencapai sebarang perjanjian dan Korea Utara minggu ini sekali lagi mengisytiharkan ia sedang menjalankan ujian senjata nuklear.

Kini Encik Putin yang sudah lama memaklumkan kesediaannya untuk bertemu Encik Kim, dijangka cuba memainkan peranan lebih besar dalam rundingan nuklear bersama negara sekutu zaman Perang Dingin itu.

Kepentingan Rusia dalam sidang puncak adalah sebagai peringatan kepada negara-negara lain bahawa "Moscow wujud dan mempunyai potensi ekonomi serta politik" di rantau itu, menurut Andrei Lankov dari Universiti Kookmin di Seoul.

"Rusia perlu menunjukkan ai ada kuasa kawalan ke atas keadaan di semenanjung Korea. Perkembangan baru-baru ini menjauhkan pihak-pihak lain kecuali Korea Utara dan Amerika Syarikat, dan ini tidak baik bagi pihak lain," kata beliau.

Setelah sekian lama diundang Rusia untuk adakan rundingan, Encik Kim akhirnya menerima "kerana (rundingan kedua dengan Amerika Syarikat) gagal, dan beliau tidak dapat kecapi apa yang diinginkan", kata Encik Lankov.

Meski tidak serapat semasa era Soviet, Moscow masih mengekalkan hubungan agak baik dengan regim yang terpencil itu.

Amerika Syarikat menuduh Moscow, yang membekalkan bantuan makanan kepada Korea Utara, sebagai membantu Pyongyang mengelak sekatan antarabangsa. Moscow menolak dakwaan tersebut.

Kremlin bagaimanapun tidak mempunyai pengaruh yang sehebat Beijing di rantau itu. China merupakan satu-satunya sekutu utama serta rakan dagang terbesar Pyongyang.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan