Images
  • john
    Penasihat Keselamatan Negara Rumah Putih, John Bolton. (Gambar: Abir Sultan/AFP)

Sidang puncak ketiga AS-Korea Utara mungkin dapat diadakan: Bolton

WASHINGTON: Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat, John Bolton berkata sidang puncak ketiga antara Presiden Donald Trump dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un mungkin dapat diadakan.

Namun menurut Encik Bolton ia bergantung kepada kesediaan Encik Kim.

Sempena ulang tahun pertama sidang puncak pertama mereka di Singapura, Encik Trump pula memberitahu para pemberita di Rumah Putih beliau sudah menerima surat dari Encik Kim.

Encik Trump juga berkata beliau yakin sesuatu yang positif akan berlaku.

"Saya baru terima sepucuk surat yang indah dari Kim Jong-un. Sudah tentu saya tidak boleh menunjukkannya kepada anda tetapi ia bersifat amat peribadi, amat mesra dan surat amat indah. Saya menghargainya dan sekali lagi saya katakan saya berpendapat bahawa Korea Utara mempunyai potensi amat besar dan Encik Kim menerajuinya," menurut Presiden Donald Trump.

Walaupun sudah setahun pertemuan pertama Trump-Kim berlangsung di Singapura kedua-dua pihak masih mengalami kebuntuan dalam usaha hendak menghapuskan program nuklear Korea Utara.

Tiada kemajuan dibuat meskipun Presiden Trump dan Encik Kim mengadakan sidang puncak kedua mereka di Hanoi, Vietnam pada Februari lalu.

Bahkan semalam (11 Jun), Pyongyang memberi amaran kepada Amerika supaya "menarik balik dasar permusuhannya".

Jika tidak, Pyongyang menegaskan bahawa perjanjian-perjanjian yang dicapai di Singapura mungkin menjadi tidak sah.

- AFP/MU/na

Top